Bas dari JB terbakar di Plaza Tol UPM, 44 penumpang nyaris maut


  • 112
  • Ahad, 22 Jan 2023

Bas persiaran yang terbakar dalam kejadian di Plaza Tol UPM, Serdang pada Ahad. — Bomba Malaysia

SERAMAI 44 penumpang berdepan detik menakutkan selepas bas persiaran dinaiki terbakar di Plaza Tol UPM, Serdang, Selangor pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.19 pagi.

"Bas persiaran itu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur dan mengalami kebakaran 100 peratus.

"Bagaimanapun, seramai 44 penumpang dan pemandu bas terbabit berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Hafisham lagi, kebakaran berkenaan turut menyebabkan bumbung pondok tol terbakar 10 peratus.

"Api berjaya dipadamkan kira-kira setengah jam kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia turut memaklumkan perkara tersebut melalui akaun Facebook rasminya dan kerja pengalihan sedang dijalankan.

"Kesemua lorong keluar Plaza Tol UPM ditutup sementara. Sila gunakan laluan alternatif," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram