'Hanya masalah komunikasi', MB Terengganu perjelas isu lawatan PM dan dakwaan wujud 'perang dingin'


  • Politik
  • Isnin, 16 Jan 2023

Ahmad Samsuri menafikan wujud perang dingin antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujud 'perang dingin' antara pimpinan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Ia susulan ketidakhadiran beliau dan barisan pemimpin negeri pada program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu pada Khamis lalu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan pusat dan bersedia memberikan kerjasama dalam apa juga urusan terutama yang melibatkan kepentingan bersama.

"Apa yang berlaku ialah masalah komunikasi dan saya pun tak mahu panjangkan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera di Kampung Tajin, Hulu Terengganu, Terengganu pada Isnin.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau dan pemimpin negeri tidak hadir ke program lawatan tersebut kerana tidak dimaklumkan bahawa terdapat urusan khusus yang melibatkan kerajaan negeri dalam program lawatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya hanya menyalurkan bantuan dari aspek logistik serta pengangkutan seperti yang diminta oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"Amalan sebelum ini ialah apabila PMO menghubungi kerajaan negeri untuk apa juga urusan, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan dan siapa yang dilibatkan.

"Tetapi dalam kunjungan Perdana Menteri baru-baru ini, saya tak dimaklumkan ada urusan khusus dengan kerajaan negeri. Oleh kerana itu, kita hanya membantu dari segi logistik dan pengangkutan... tidak diminta lain daripada itu," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, setakat ini kerajaan negeri juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat rasmi dengan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, beliau dijangka menghadiri majlis syarahan amanat Perdana Menteri bersama ketua kerajaan negeri dan menteri-menteri Kabinet, Khamis ini di ibu negara.

"Saya difahamkan negeri-negeri lain juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat dengan Perdana Menteri, yang ada pada Khamis ini dijemput semua menteri besar bersama menteri Kabinet untuk hadir pada majlis syarahan amanat Khamis ini di Kuala Lumpur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan Umno Terengganu bahawa berlaku pengagihan wang secara berleluasa oleh PAS kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

"Itu adalah hak yang diberi dalam undang-undang PRU kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dalam apa juga alasan.

"Petisyen akan diuruskan dengan cara undang-undang oleh semua pihak," katanya.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu dibuat kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan Parlimen berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram