Dua ahli Umno serah notis bantahan usul PAU tambahan kepada RoS


  • Politik
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Aizat Fikri dan Fiqri Firdaus menghantar aduan kepada RoS berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

DUA ahli Umno pada Jumaat menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Aduan itu dikemukakan oleh ahli Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022, Sabtu lalu.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan Umno serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Menurutnya, usul tambahan tersebut diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada hari persidangan dilihat sebagai lihat melanggar Perkara 10 Peraturan Persidangan yang menyatakan bahawa apa-apa usul perlulah disampaikan dalam tempoh tertentu.

Muhammad Fiqri Firdaus, yang ditemui media selepas menghantar aduan itu kepada RoS, berpendapat yang menjadi pertikaian adalah usul tambahan itu perlu dibawa sekurang-kurangnya ke peringkat cawangan dan bahagian.

"Salah satu rasional kenapa kita bawa perkara ini kepada badan kawal selia adalah untuk memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul yang dibawa di PAU 2022, baru-baru ini," katanya.

Sabtu lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil Umno Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada hari yang sama, berkata, mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan sah atau tidak.

Umno perlu mengadakan pemilihan parti sebelum 19 Mei ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram