'Lihat keadaan anak remaja yang hadapi AIDS', pakar perubatan beri komen isu ubat PrEP


  • Massa
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Penggunaan PrEP dalam kalangan masyarakat homoseksual kerap dibincangkan.

MEREKA yang tidak terlibat dalam bidang perubatan dipelawa untuk hadir ke hospital berdekatan dan melihat sendiri pahit getir dihadapi penghidap HIV dan AIDS yang tergolong dalam kalangan remaja, gesa Dr Ummu Afeera Zainulabid.

Menerusi satu ciapan di Twitter peribadinya, dia memberi pandangan mengenai satu artikel ditulis Jabatan Mufti Negeri Selangor yang menghalang pemberian ubat pencegahan HIV (PrEP) kepada pasangan homoseksual.

"Seminggu dua clinical attachment tidak mencukupi. Datanglah dan lihat komplikasi CMV, talaromycosis, cryptococcal meningitis, pneumocystii pneumonia, toxoplasmosis, histoplasmosis dan segala jangkitan opportunistik lain.

"Lihatlah juga saat anak-anak ini mati lantaran komplikasi kanser dan lainnya juga asbab HIV/AIDS. Fahamilah asbab di sebalik isu cegah lawan rawat," katanya menerusi ciapan tersebut.

Tambahnya, ketagihan terhadap hubungan seks bukanlah perkara yang mudah untuk dibincangkan dan ia mengambil tempoh untuk dipulihkan selain berpendapat pemberian PrEP tidak akan membantu ketagihan.

LGap-Wwo_400x400

Dr Ummu memberi ulasannya mengenai artikel ditulis Jabatan Mufti Negeri Selangor baru-baru ini.

"Masa adalah sebahagian dari rawatan. Kami percaya dengan didikan berterusan dari para doktor yang arif, mereka ini akan kembali pulang ke jalan Tuhan tanpa dijangkiti. Dan mereka akan membantu sahabat mereka yang lain pula," katanya.

Walaupun dia mengakui rasa hormatnya terhadap golongan asatizah dan mufti, Dr Ummu berpendapat pandangan hanya wajar diberikan selepas mereka menyaksikan cabaran yang dihadapi pesakit HIV dan AIDS secara peribadi.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee berkata, PrEP didapati tidak mengurangkan penularan HIV.

"Ia merupakan satu tanggungjawab kepada petugas kesihatan untuk menyediakan hujah yang bersandarkan fakta untuk mengelakkan pandangan akan hal tersebut. Ia adalah pilihan peribadi," katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib pula, hantaran yang dibuat Jabatan Mufti Negeri Selangor itu akan mengelirukan orang ramai.

WhatsApp Image 2023-01-21 at 17.31.46

Pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenai pemberian PrEP menarik perhatian ramai.

Jelasnya, tindakan untuk menghalang masyarakat kepada akses perubatan adalah satu tindakan yang salah dan tidak berasas dalam kesihatan awam.

"Ia merupakan satu perkara penting kepada pihak kesihatan untuk menyediakan informasi berdasarkan fakta kepada masyarakat mengenai penyakit HIV, AIDS dan baru-baru ini, Covid-19.

"Kami sudah belajar daripada pengalaman pahit dan tragis masa lalu iaitu kepercayaan, pertimbangan, sikap dan dogma sebegini selalunya membawa lebih banyak mudarat daripada kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Azrul, keputusan untuk menyediakan PrEP kepada mereka yang memerlukan tanpa perlu adanya diskriminasi ialah kunci untuk memastikan rawatan diberikan berhasil dalam mengurangkan penghidap HIV dan AIDS.

“Kita tahu apa yang berkesan dan memberi impak dan apa yang tidak. Kita perlu dibimbing oleh sains, penjagaan berpusatkan pesakit, dan pengalaman orang dan komuniti yang memerlukan perkhidmatan sedemikian.

"Saya mengesyorkan agar Jabatan Mufti Negeri Selangor menilai semula pendirian mereka yang disiarkan mengenai isu terbabit selain mengadakan perbincangan bersama pakar dalam bidang tersebut terlebih dahulu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram