MENUNAIKAN solat merupakan Rukun Islam kedua serta menjadi tiang agama dalam membentuk akidah seseorang. Biarpun ‘senakal’ mana, solat tetap wajib didirikan itu merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam.
Namun, bagaimana pula dengan mereka yang mengambil mudah terhadap mendirikan solat? Bukan apa, tidak mustahil ada yang melihat solat itu bukan satu kepentingan dan hanya akan memakan waktu.
Seseorang itu diperuntukkan untuk mendirikan solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Tidak dinafikan solat bagi Subuh dan Isyak antara yang sukar dilakukan atas alasan terlewat bangun atau terlalu penat.
Adakah meninggalkan solat dengan sengaja mampu membuatkan seseorang itu terpesong daripada ajaran Islam sekali gus termasuk dalam kumpulan munafik?
Ini kerana ada hadis mengatakan tentang individu munafik sekiranya meninggalkan dua waktu solat ini.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdaapt pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” (Riwayat Ahmad)
Terdapat juga dalam beberapa kitab hadis sahih seperti al-Bukhari, Sunan al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, Sahih Ibn Khuzaimah turut meriwayatkan.
Bagaimanapun, menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, hadis tersebut bermaksud setiap waktu solat adalah berat bagi orang munafik. Tidak tertumpu sama ada solat Isyak dan Subuh sahaja.
Dijelaskan oleh al-Munawi: “Setiap solat bagi orang-orang munafik itu adalah paling berat.”
Begitu juga yang dijelaskan dalam al-Quran, surah al-Taubah: ayat 54:”Dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas.”
Sementara al-Zarqani menyebut dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa: “Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu.”
Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa Islam amat menggalakkan solat berjemaah pada kedua waktu iaitu Isyak dan Subuh.
Seperti yang disebutkan oleh Muhammad Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadis berkenaan solat al-ʻatamah (solat Isyak): “Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut (Isyak dan Subuh). Sedangkan padanya terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik.”
Hadis tersebut menjelaskan tentang kepentingan solat berjemaah dalam Islam dengan tujuan untuk mencegah golongan munafik daripada terus meninggalkan solat.
Dengan itu, bagi yang kadangkala ketinggalan menunaikan dua waktu solat ini, apa kata lakukannya secara berjemaah tidak mengira sama ada dengan keluarga atau di masjid mahupun surau.
Perubahan ke arah kebaikan itu boleh dimulakan dengan langkah pertama iaitu dengan cara memperbaiki solat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram