PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan kelainan dalam memberi ucapan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bersama dengan seekor arnab.
Ucapan tersebut memaparkan seekor arnab yang bernama Miki iaitu zodiak tahun ini melompat sambil diiringi suara latar belakang sebelum dipegang oleh Perdana Menteri.
Anwar Ibrahim menyeru semua rakyat untuk tidak pernah mengalah dan bangkit dengan semangat perpaduan.
Anwar berkata, adalah penting untuk semua rakyat berbilang kaum di negara ini, diperkasakan selari dengan kedudukan Malaysia yang sudah merdeka dan matang.
“Sebagai satu negara merdeka, dan sudah matang serta dewasa. Wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia tercinta.
“Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat cina, Gong Xi Fa Cai, Xinnian Kuaile, Xin Nian Hao,” katanya.
Dalam video ucapan tersebut, Miki dilihat seperti haiwan yang tidak mengenal penat lelah menghadapi pelbagai cabaran untuk terus hidup dan bernafas di muka bumi.
Perjuangan Miki sebenarnya menggambarkan rakyat Malaysia yang tidak pernah mengalah dalam mencari sinar harapan.
“Ayuh kita bangkit, kita bangkit dengan perpaduan,” ucap suara latar belakang iklan tersebut.
Di akhir video itu, kelihatan Miki digendong Anwar, yang kemudiannya menyampaikan mesej Selamat Tahun Baharu Cina untuk rakyat Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram