Pernah beraksi bersama kelab Sepanyol, ketahui 4 sebab bintang import Afrika mungkin jadi pilihan Zamsaham


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Norizam Tukiman dilaporkan berhasrat untuk membawa pemain import dari Gambia. — Agensi

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman membuat kejutan kepada semua penyokong The Red Warriors (TRW) selepas memberikan 'hint' untuk membawa seorang pemain import dari Afrika pada Khamis.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham oleh penyokong bola sepak tempatan bertanyakan soalan kepada peminat TRW menerusi Facebook miliknya berkenaan individu import terbabit.

"Kau rasa Nuha Marong ini okay ke?" soal pemilik Kelantan FC terbabit di Facebook.

Siapakah Nuha Marong ini? Individu tersebut merupakan pemain kelahiran Gambia dan banyak berkelana ke Sepanyol, Bangladesh dan India.

Ini merupakan empat sebab berkemungkinan kenapa Zamsaham berminat untuk membawa Nuha Marong ke Kelantan FC musim ini:

Nuha ketika beraksi bersama Atlético Baleares. Agensi

1. Pengalaman di Sepanyol

Nuha Marong kini sedang beraksi bersama Rajasthan United di India, namun jika kita menerusi perjalanan pemain ini pastinya membuatkan penyokong TRW teruja.

Sejak muda Nuha sering beraksi di setiap divisyen Liga Sepanyol kecuali Liga utama negara itu.

Nuha turut pernah beraksi bersama skuad muda kebangsaan Sepanyol dan skuad senior Gambia.

Pada 2022, Nuha telah berhijrah ke Asia dengan bermain di kelab Bangladesh dan baru saja menyertai Rajasthan United di India.

Nuha pernah beraksi bersama kelab Sepanyol, Granada CF. Agensi

2. Rekod gol

Pemain berusia 29 tahun ini sudah merekodkan 49 gol dalam 247 penampilan sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.

Prestasi terbaik Nuha apabila dia bermain bersama Atlético Baleares pada 2018-2019 apabila berjaya menjaringakan 13 gol dan tujuh bantuan gol dalam 40 penampilan.

Sementara itu, pada 2022 pula, ketika bersama Bashundhara Kings, Nuha berjaya menjaringkan tiga gol dan satu assist dalam 10 perlawanan liga.

Nuha melakukan debut bersama skuad kebangsaan Gambia pada 2019. Agensi

3. Pemain antarabangsa Gambia

Nuha pernah mewakili skuad muda antarabangsa Sepanyol di setiap peringkat iaitu bawah 18 tahun, 19 tahun serta 20 tahun.

Namun pada 2019, Nuha melakukan debut bersama negara kelahiran bintang naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh iaitu Gambia.

Sepanjang menyarung jersi Gambia, Nuha tidak pernah menjaringkan gol namun tampil melakukan empat penampilan bersama negara tersebut.

Bersama Bashundhara Kings, Nuha berjaya menjaringkan tiga gol dan satu assist dalam 10 perlawanan liga. Agensi

4. Tidak terlalu berusia

Tidak rugi jika pemilik Kelantan mahu mendapatkan Nuha Marong apabila dia baru sahaja berumur 29 tahun.

Belum menjangkau umur 30 tahun, pastinya Nuha mampu memberikan sumbangan yang besar buat TRW.

Selain itu, jika Nuha berjaya menampilkan prestasi yang baik pastinya dia mampu mengikut jejak langkah bekas import TRW, Mohamad Ghaddar yang sentiasa diingati penyokong Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nuha Marong, Norizam Tukiman, Kelantan, TRW