SUDAH hampir dua bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik menteri beserta timbalan untuk mengemudi setiap kementerian yang ditetapkan.
Ada yang sudah mula bergerak pantas hingga mendapat respons positif penyokong tetapi ada juga yang masih bergerak perlahan dan belum nampak hala tuju.
Sebahagian warganet mula meminta supaya barisan pimpinan baharu mengekalkan sahaja dasar dan hala tuju kementerian sebelum ini daripada mengambil masa yang lama untuk menentukan haluan kementerian itu.
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, seseorang pemimpin itu harus tahu hala tuju sesebuah kementerian yang dipimpinnya.
"Seseorang ketua itu perlu ditukar dalam masa tertentu kerana bila terlalu lama, menteri itu boleh jadi tepu dan ketandusan idea.
"Jika sesebuah kementerian itu tidak nampak hasilnya, maka yang bermasalah itu adalah menterinya. Tak guna lantik yang baharu kalau tiada perubahan baharu," katanya kepada Majoriti.
Menurut Azmi, setiap dasar baharu yang diperkenalkan seseorang menteri adalah berdasarkan kepada keadaan semasa dan disebabkan itu perlunya hala tuju baharu ditetapkan.
Jelasnya, dasar lama daripada kepimpinan lama boleh diteruskan jika perkara itu mempunyai kaitan dengan keadaan semasa.
"Saya tidak nafikan, memang dalam dua ke tiga kementerian, tidak nampak hala tuju baharu. Apa yang dilakukan hanyalah menyambung kerja sebelum ini.
"Ini yang bermasalah kerana perkara itu menunjukkan yang menterinya tidak mempunyai visi dan misi yang jauh.
"Menteri sebegini tidak mempunyai citarasa sendiri dan lebih teruk lagi bila dia tidak nampak kehendak keadaan semasa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram