PELAN persaraan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo nampaknya berjalan seperti yang direncana dengan kehidupan selesa dan mewah apabila dia menggantung but nanti.
Penyerang Portugal itu baru menandatangani kontrak dengan kelab Al Nassr yang membayar gaji lumayan berjumlah £173 juta (RM920 juta) setahun, untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
Menurut laporan Daily Mail, pemain berusia 37 tahun itu bakal memiliki sebuah rumah agam mewah bernilai £17 juta (RM90 juta) di Quinta da Marinha di Portugal.
Difahamkan, kediaman itu menjadi rumah persaraan Ronaldo sebaik sahaja kontraknya dengan Al-Nassr berakhir.
Rumah agam mewah bernilai RM90 juta di Quinta da Marinha. — Agensi
Pemenang Ballon d'Or lima kali itu difahamkan membeli tanah itu pada September 2021 dengan kediaman tersebut dijangka siap pada Jun 2023.
Rumah agam itu bakal memiliki kawasan khas untuk penyediaan hidangan Jepun seperti sushi.
Meskipun masih gagal mendapatkan seorang tukang masak untuk menyediakan makanan hariannya, Ronaldo dilaporkan mengupah pelayan dengan gaji £4,800 (RM25,471.98) sebulan.
Malah, ketika ini kebanyakan jawatan di rumah agam itu sudah diisi.
Buat masa ini, Ronaldo dilaporkan membayar sewa £250,000 (RM1.3 juta) sebulan untuk menginap di suite hotel mewah Arab Saudi.
Pemain itu dan pasangannya, Georgina Rodriguez menempah dua tingkat dan 17 bilik di hotel Four Seasons di Kingdom Tower, Riyadh sebelum berpindah ke sebuah rumah agam mereka.
Ronaldo menandatangani kontrak dengan kelab Al Nassr. — Twitter
Mengenai persaraan, Ronaldo ketika bercakap dengan ESPN berkata, dia berminat untuk bermain bola sepak hingga usianya mencecah 40-an.
"Secara genetik saya berasa seperti dalam lingkungan umur 30-an.
"Saya menjaga badan dan minda saya. Sesuatu yang saya pelajari baru-baru ini ialah selepas 33 tahun, kekuatan mental amat penting.
"Saya ingin tahu sama ada saya masih boleh bermain pada usia 40-an kelak, namun buat masa sekarang, saya mahu menikmati setiap perlawanan," tambah bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram