PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya memperkenalkan 'Malaysia Madani' sebagai usaha untuk mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara.
Sama seperti kepimpinan sebelum ini, Anwar juga nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam mewujudkan satu slogan ikonik yang akan mencerminkan corak pentadbirannya.
Namun, di sebalik slogan yang diperkenalkan, rata-rata warganet sudah mula menilai kemampuan Anwar untuk melakukan perubahan dalam negara.
Seorang warganet, Khalid Abad berkata, dia setuju dengan corak kepimpinan yang cuba ditampilkan Anwar, namun sudah tiba masanya untuk pemimpin itu memulakan gerakannya.
"Sekarang sudah tiba masanya kerajaan mempamerkan tindakan yang sepatutnya. Rakyat sedang menunggu bila dan bagaimana pula untuk menilai prestasi sebenar kerajaan," katanya.
Seorang lagi warganet, Yusof Ahmad berkata, rakyat sedang menunggu bila janji-janji sebelum ini akan ditunaikan.
"Sudah buat Madani, tunaikanlah janji Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) seperti dijanjikan. Jika tak mampu jangan main slogan Madani," katanya.
Senada dengan perkara itu, Azham Fareez berkata, setakat ini masih belum nampak lagi perbezaan yang ketara berbanding kerajaan sebelum ini.
"Perkara pertama adalah harus kurangkan cerita perkara yang sudah lepas. Salahkan kerajaan yang ada lepas. Masa terus berjalan.
"Perkara asas seperti kos sara hidup tinggi pun belum nampak penyelesaian. Kalau perlu GST dikembalikan, just go ahead asalkan rakyat dapat impaknya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram