Muhyiddin fail pernyataan pembelaan kes fitnah Anwar Ibrahim


Muhyiddin memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Anwar.

AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar yang menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata, semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar pada Khamis, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Februari depan.

"Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.

Dalam saman itu, Anwar mendakwa pada 5 Disember lalu, bahawa Pengerusi Perikatan Nasional itu membuat kenyataan fitnah dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah.

Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram