[VIDEO] Buat bising minuman 'order' lambat sampai, polis dedah punca lelaki berparang tetak pekerja restoran di Cheras


  • 112
  • Khamis, 19 Jan 2023

Tangkap layar video menunjukkan dua individu bersenjatakan parang menyerang seorang pelayan restoran di Cheras, Selangor pada Rabu.

GARA-GARA menegur sikap biadab suspek yang membuat bising apabila minuman yang dipesan dihantar lewat, seorang pekerja restoran parah apabila ditetak dua pelanggan di sebuah restoran di Taman Segar Perdana, Cheras, Selangor pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dua lelaki tempatan berusia 44 dan 47 tahun itu ditahan awal pagi Rabu kerana menetak sorang pelayan restoran terbabit dalam kejadian pukul 9.25 pagi.

Beliau berkata, dalam kejadian berkenaan, lelaki yang bekerja sebagai pelayan restoran berusia 46 tahun itu mengalami kecederaan patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan akibat ditetak dua suspek berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian berlaku adalah disebabkan seorang daripada penyerang itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang telah menegurnya kerana membuat bising apabila minuman yang dipesan lewat dihantar.

"Suspek telah dihalau keluar dari restoran dan kemudian datang semula bersama seorang lagi rakan dengan membawa senjata parang menyerang mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, kedua-dua lelaki itu diberkas pada pukul 3 pagi Rabu di Taman Cheras Permata, Kajang dan turut dirampas dua bilah parang dan pakaian yang digunakan mereka semasa kejadian, ujian air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah.

"Kedua-dua lelaki itu direman selama lima hari sehingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata," katanya.

Terdahulu, tular sejak Khamis rakaman kamera litar tertutup berdurasi selama 1 minit 20 saat menunjukkan dua individu bersenjatakan parang menyerang seorang pelayan restoran ketika pelanggan sedang makan di premis berkenaan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram