[VIDEO] Pengunjung fobia, 'hotspot' pelancongan didakwa jadi lubuk ragut di P. Pinang


  • Tular
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Tak selamat.... Tangkap layar video kejadian mangsa diragut suspek di Lorong Selamat di Pulau Pinang.

SEORANG wanita terpaksa berdepan detik mencemaskan apabila menjadi mangsa ragut di Pulau Pinang baru-baru ini.

Wanita tersebut pada mulanya dilihat dipercayai berjalan bersama rakan-rakannya sebelum kejadian itu berlaku.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di lokasi tersebut.

Ketika kejadian, suspek dipercayai mengekori mangsa dari belakang dengan menaiki motosikal sebelum dia dilihat menunggang perlahan menghampiri wanita tersebut.

Tindakan peragut tersebut membuatkan mangsa tertarik ke arah jalan, namun dia bernasib baik apabila tiada sebarang motosikal melintas semasa kejadian berlaku.

Difahamkan, kejadian video berdurasi 38 saat itu, berlaku di Lorong Selamat, Pulau Pinang.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati kawasan tersebut didakwa sering berlaku kejadian ragut, selain ada yang meminta nama lorong tersebut ditukarkan.

"Ini adalah sekitar kawasan pelancongan George Town Pulau Pinang, pelancong biasanya menjadi sasaran manusia seperti ini, yang penting sentiasa berwaspada dan jangan beranggapan Pulau Pinang tiada perompak," kata HT Fong.

"Kawasan ini memang tak selamat, sering jadi 'hotspot' kejadian ragut dekat sini," dakwa Man Mantra.

"Nama sahaja Lorong Selamat, tapi tak selamat langsung," jelas Hesh Heshan.

"Mungkin daripada Lorong Selamat boleh tukar nama ke Lorong Bahaya," luah Jason Stanley.

Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa tentang kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram