SEORANG pemandu kenderaan jenis Perodua Ativa nyaris maut apabila sebatang besi dipercayai lebih muatan sebuah lori melambung ke arah kereta miliknya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Rawang, Selangor, pada Jumaat.
Kejadian berbahaya tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta pemandu tersebut sebelum mula tular pada Ahad.
Menerusi rakaman video terbabit, sebuah lori di lorong sebelah kiri dipercayai membawa barangan lebihan muatan dan hanya tutup belakang lori menggunakan kanvas.
Namun, kanvas terbabit dilihat tidak menutupi keseluruhan muatan tersebut ditambah dengan faktor kelajuan angin menyebabkan besi itu terkeluar dan kemudiannya terpelanting dan menusuk cermin kereta mangsa.
Bedasarkan rakaman dan gambar yang tular di media sosial, besi terbabit tertusuk sehingga ke dalam tempat duduk penumpang depan.
Namun, mangsa bernasib baik kerana tiada penumpang serta tidak terkejut sehingga boleh menyebabkan terbabas serta berlakunya kejadian tidak diingini.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori terbabit.
"Ini adalah pengalaman yang mengerikan, penutup kanvas lori itu tidak diketatkan dengan selamat menyebabkan batang besi itu terbang," jelas Chay Chay.
"Memang wajib ambil tindakan terhadap lori dan pemilik lori, khemah lori dah hancur tapi masih nak pakai lagi?" soal New Buddyz.
"Kejadian ini macam filem Final Destination, selamat tiada penumpang dan pemandu tidak cedera," ujar Chelvan Arasi.
Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa tentang kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram