Pahang dedah 29 nama 'Datuk', 'Datuk Seri' palsu


  • Primer
  • Khamis, 19 Jan 2023

Kerajaan Pahang mendedahkan 29 individu yang menerima gelaran Datuk dan Datuk Seri palsu. — Gambar hiasan

SERAMAI 29 individu yang tiada dalam senarai penerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur didedahkan kepada umum melalui Notis Awam yang dikeluarkan Kerajaan Pahang.

Nama individu terbabit telah disenaraikan berikutan pemalsuan senarai penerima pingat daripada Sultan Pahang berhubung gelaran Datuk dan Datuk Seri.

Notis itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dalam catatan di akaun Facebook rasmi kerajaan negeri.

nama

Senarai nama yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang berhubung gelaran pangkat palsu.

Pada 28 Disember tahun lalu, dua bekas kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan kerana mengubah suai kandungan senarai anugerah dan pingat negeri Pahang di laman web mereka tanpa kebenaran.

Mohd Isa Mohd Yusof, 36, menghadapi 26 pertuduhan kerana memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa berumur antara 34 dan 61 tahun di laman web.

Sementara itu, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, menghadapi tiga pertuduhan kerana memasukkan tiga individu di laman web.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram