MENJELANG saingan Liga Super 2023 yang bakal bermula Februari nanti, setiap pasukan sudah mula membuat persiapan rapi dengan beberapa perlawanan persahabatan sedang dijalankan ketika ini.
Ia bertujuan bagi menguji segala taktikal serta keserasian pemain lama dan juga muka baharu bagi memudahkan perancangan jurulatih terhadap posisi mereka kelak.
Beberapa kelab sudah mula mengambil langkah dengan terbaharu, Kelantan FC merupakan antara pasukan yang paling mencuri perhatian apabila mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari liga Thai baru-baru ini.
Meskipun tewas 0-5 menentang Buriram United, keputusan pasukan itu mengadakan siri persahabatan dengan negara luar dipuji ramai penyokong susulan ia dilihat sebagai satu langkah yang amat berkesan bagi menguji keserasian pemain.
Susulan itu, tiga penyokong dari kelab berbeza, iaitu Kedah FC, Terengganu FC dan Pahang FC mula menyuarakan keinginan untuk melihat pasukan negeri mereka beraksi menentang beberapa kelab terkemuka dari negara Thai.
Tiga kelab menjadi pilihan penyokong ketiga-tiga kelab itu adalah Buriram United, Police Tero FC dan Ratchaburi FC.
Buriram United
Jika di Malaysia ada Johor Darul Takzim (JDT), di Thailand pula pasukan Buriram United merupakan sebuah kelab yang terunggul yang boleh dikatakan sama seperti JDT.
Merupakan juara sebanyak lapan kali di Liga Thai, ia sekali gus membuktikan betapa pasukan itu sememangnya dibarisi pemain terbaik negara dan turut berjaya membawa beberapa pemain import ternama.
Tonggak pertahanan negara Dion Cools turut tersenarai antara pemain import 'elit' yang berjaya dibawa masuk pasukan itu pada musim depan dengan kehadiran bekas pertahanan kelab Liga Republik Czech itu dilihat mampu mengawal kubu pasukan Buriram daripada dibolosi dengan mudah.
Gagal dijinakkan oleh Kelantan FC dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini, rata-rata penyokong mahu menyaksikan Buriram mengadakan beberapa lagi perlawanan menentang pasukan di negara ini dengan menyifatkan pasukan itu mampu menjadi medan uji terbaik sebelum saingan musim depan bermula.
Police Tero FC
Meskipun hanya menduduki tangga ke lapan liga pada saingan musim lepas, Police Tero dilihat antara pasukan yang sesuai untuk diadakan perlawanan persahabatan.
Pernah dianggotai beberapa pemain tempatan, corak permainan serta skil taktikal yang diterapkan jurulatih pasukan tersebut dikatakan mirip dengan beberapa kelab di liga M.
Dominic Tan dan Mohamadou Sumareh merupakan antara pemain yang pernah dipinjamkan ke kelab tersebut selama beberapa musim dan ia sekali gus mendorong lebih ramai penyokong dari negara itu untuk turut bersama-sama memberikan sokongan sekiranya ada perlawanan persahabatan diadakan antara kedua-dua negara ini.
Malah, pengalaman dimiliki kedua-dua pemain itu juga boleh digunakan sebaik mungkin sekiranya ada perlawanan yang membabitkan antara kedua pasukan tersebut.
Ratchaburi FC
Sebuah lagi kelab yang semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini, Ratchaburi FC turut menjadi igauan peminat bola sepak negara susulan pemindahan penyerang sensasi negara, Safawi Rasid ke kelab itu pada musim depan.
Menduduki tangga kedua liga pada musim lepas, kedudukan itu sekali gus membuktikan bahawa pasukan itu bukanlah kelab yang boleh dipandang rendah dengan penghijrahan Safawi ke kelab itu juga dilihat sebagai satu keputusan yang tepat diambil pemain kelahiran Terengganu itu.
Dalam pada itu, situasi lebih menarik sekiranya tiga kelab yang dinyatakan di atas mengadakan perlawanan persahabatan menentang Ratchaburi sekali gus membantu Safawi untuk membiasakan diri bersama pasukan baharunya.
Pernah melayakkan diri ke saingan AFC Champions League (ACL) 2021, skuad bimbingan Somchai Maiwilai itu sebelum ini pernah menentang JDT dalam saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Selatan.
Justeru, pemilihan tiga pasukan tersebut dalam perlawanan persahabatan dilihat satu keputusan yang tepat dengan pendedahan dan cabaran bakal diharungi jurulatih dan pemain, menjadi taruhan utama dalam perkara ini.
Tidak dinafikan bahawa moral pemain menerusi kemenangan juga turut ditagih dalam setiap perlawanan persahabatan yang diadakan namun, sekiranya pemain tidak diuji dengan lawan yang setaraf, ia tidak mendatangkan sebarang perkembangan positif kepada sesebuah pasukan itu dengan mereka dilihat akan sentiasa berada di zon selesa.
Setiap pengurursan pasukan diharap agar lebih memandang serius dan berani untuk mencabar pemain mereka dengan beberapa perlawanan kelab antarabangsa dengan negara Thailand dilihat sebagai permulaan terbaik untuk mereka menyesuaikan diri sebelum menghadapi saingan musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram