Penduduk sekitar Taman Muda bakal dapat lebih 200 tempat letak kereta


  • Massa
  • Selasa, 17 Jan 2023

Kerja naik taraf yang sedang dilakukn di Jalan Bunga Mawar 4, Ampang Jaya, Selangor.

LEBIH 200 tempat letak kereta tambahan akan tersedia di sepanjang Jalan Bunga Mawar 4, Taman Muda di Ampang Jaya, Selangor, sebaik kerja-kerja menaik taraf siap dalam tempoh enam bulan akan datang.

Ruang letak kereta itu sedang dibina sebagai sebahagian daripada projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur yang sedang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Ahli Majlis MPAJ, Yew Jia Haur berkata, projek yang menelan belanja RM1.4 juta itu terdiri daripada menaik taraf longkang dan laluan pejalan kaki.

"Kawasan ini merupakan kawasan komersial yang sibuk dan kerja-kerja menaik taraf perlu dilakukan kerana jumlah pengguna dan pengunjung yang ramai di sini.

"Ketiadaan tempat letak kereta adalah isu yang berterusan dan saya harap ini dapat membantu mengurangkan keadaan," katanya.

Menurut Haur, hanya sebatang pokok yang akan ditebang untuk memberi laluan kepada projek itu.

Jelasnya, dia juga akan menghantar senarai cadangan kepada MPAJ untuk menambah baik keadaan lalu lintas dan keselamatan di kawasan itu.

"Pada November 2019, trafik di Jalan Bunga Mawar 4 telah ditukar daripada aliran dua hala kepada satu hala.

"Sekarang sudah dua tahun berlalu dan masih ramai pemandu yang tidak menyedari perubahan itu.

"Saya telah mencadangkan MPAJ melaksanakan tanda 'sehala', 'larang masuk' dan lain-lain untuk memberi amaran kepada pemandu.

"Bonggol dan lintasan pejalan kaki juga diperlukan sebaik sahaja kerja-kerja jalan selesai," katanya.

Jalan sehala itu diperkenalkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Bunga Mawar dan Jalan Teratai 1/2.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (Blok A) Taman Muda, Kelly Loh, bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa penduduk akan dipaksa membayar parkir sebaik tempat letak kereta dibina.

"Kami mempunyai persefahaman dengan MPAJ untuk tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka yang meletak kenderaan di tepi jalan kerana mereka kebanyakannya tinggal di unit di atas lot kedai," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram