PROSIDING bela diri Siti Bainun Ahd Razali atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella ditangguh hingga Selasa selepas tiga peguam pengasas Rumah Bonda itu menarik diri daripada mewakili dirinya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi membenarkan penangguhan itu selepas peguam, Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan dia dan firma guamannya menarik diri daripada mewakili Siti Bainun.
"Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan bela diri namun Nur'Aminahtul Mardiah dan firma guamannya telah membuat permohonan untuk menarik diri daripada mewakili Siti Bainun. Saya juga ambil maklum tertuduh baru mengetahui perkara itu pada Isnin.
"Namun adalah tidak wajar peguam menarik diri kerana ia menyukarkan anak guam. Sekiranya ada masalah, buat permohonan sebelum tarikh hari ini. Sepatutnya, permohonan difailkan awal dan maklumkan kepada tertuduh yang kamu tidak boleh mewakilinya supaya tertuduh boleh mendapatkan peguam lain," katanya.
Beliau berkata, mahkamah juga menerima notis penarikan diri peguam Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif daripada firma guaman lain pada 13 Januari lepas.
"Saya tangguhkan prosiding hari ini (Isnin) kepada esok (Selasa) untuk kamu mencari peguam lain menggantikan peguam-peguam yang telah menarik diri atau mengekalkan dua peguam sedia ada iaitu Nurul Hafizah Hassan dan Asiah Abd Jalil," katanya sambil menambah dua lagi peguam yang mewakili Siti Bainun namun tidak hadir pada prosiding hari ini (Isnin) perlu menyatakan pendirian mereka.
Terdahulu, Nur'Aminahtul Mardiah berkata, pihaknya telah berbincang dan memberi penjelasan kepada Siti Bainun mengenai penarikan diri mereka selain menasihatinya untuk mendapatkan khidmat peguam lain.
"Pendirian kami untuk tidak teruskan daripada mewakili Siti Bainun kerana tiada arahan daripadanya. Saya juga tidak boleh bertindak sendiri tanpa pasukan. Semalam (Ahad) saya mendapat tahu Mohammad Farhan dan Nur Ellena juga menarik diri. Oleh itu, saya minta Siti Bainun mendaftar dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau mendapatkan khidmat peguam lain.
"Saya sendiri perlu membuat (permohonan) di mahkamah terbuka kerana saya adalah peguam utama selain perlu menerangkan kepada mahkamah situasi yang berlaku kerana ia melibatkan lima firma guaman," katanya.
Siti Bainun pula ketika disoal oleh Izralizam sama ada dia tahu Nur'Aminahtul Mardiah ingin menarik diri berkata: "Saya diberitahu ada masalah masa tetapi tidak tahu peguam saya nak tarik diri. Jadi, saya perlu berbincang dengan peguam untuk bantu saya."
Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas pula memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya mengetahui perkara itu pada Isnin kerana tidak mendapat surat berhubung penarikan diri ketiga-tiga peguam.
"Pihak kami tidak membantah sekiranya tertuduh ingin melantik peguam lain atau mendapatkan bantuan YBGK bagi meneruskan prosiding bela diri. Kami serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung perkara ini," katanya.
Pada 13 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Siti Bainun untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membela diri.
Mahkamah itu turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan prosiding bela diri sementara menunggu rayuan.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram