Tragedi Kanjuruhan: 1,600 anggota keselamatan kawal sekitar mahkamah Surabaya di hari pertama perbicaraan


  • Benua
  • Isnin, 16 Jan 2023

Tragedi Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut sebanyak 135 maut itu menimbulkan tanda tanya mengenai prosedur keselamatan dengan pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata ketika mengawal keadaan walaupun ia diharamkan FIFA. — Agensi

MAHKAMAH Indonesia pada Isnin memulakan sesi perbicaraan terhadap beberapa pegawai dan penganjur perlawanan bola sepak atas tuduhan kecuaian jenayah dalam insiden rusuhan di sebuah stadium di Jawa Timur, Indonesia pada Oktober lalu.

Tragedi Stadium Kanjuruhan, Malang yang meragut 135 maut itu menimbulkan tanda tanya mengenai prosedur keselamatan apabila pihak berkuasa keselamatan menggunakan gas pemedih mata ketika mengawal keadaan walaupun ia diharamkan FIFA.

Mahkamah di Surabaya mendengar pertuduhan yang dibacakan terhadap lima individu dengan tiga daripadanya merupakan anggota polis.

Menurut jurucakap, Agung Pranata, perbicaraan itu diadakan secara atas talian berikutan kerisauan berlakunya isu keselamatan.

Pihak berkuasa di ibu negeri Jawa Timur itu menempatkan seramai 1,600 petugas keselamatan, termasuk polis dan tentera di dalam dan sekitar Mahkamah Daerah Surabaya sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pesuruhjaya hak asasi manusia di Indonesia, yang menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan mendapati sebanyak 45 das tembakan gas pemedih mata dilepaskan kepada penonton selepas tamat perlawanan, sekali gus mengakibatkan rempuhan dan kesesakan.

Tambahnya, pintu yang terkunci di sekitar stadium, lambakan penonton serta kegagalan untuk menepati garis panduan keselamatan mengeruhkan lagi situasi ketika itu.

Sementara itu, seorang peguam yang mewakili penganjur perlawanan dari Arema, Suparman berkata, salah satu kelab yang terlibat dalam perlawanan itu tidak mengaku terlibat dengan insiden tersebut.

“Sekiranya ada kecuaian, polis yang melepaskan gas pemedih mata, bukan kami,” katanya.

Namun begitu, peguam yang mewakili polis dan pegawai terlibat enggan mengulas tentang kes tersebut.

Selepas insiden berkenaan, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan bahawa kesemua aksi liga bola sepak akan digantung dengan Stadium Kanjuruhan akan dirobohkan dan dibina semula.

Bagaimanapun, perlawanan di negara tersebut sudah diteruskan semula tanpa sebarang penonton. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram