DALAM keghairahan penyokong bola sepak Sabah FC menanti permulaan musim baharu yang bakal membuka tirai Februari ini, pasukan Sang Badak terpalit dengan isu kelewatan pembayaran gaji pemain.
Kemelut kewangan kelab menjadi buah mulut di media sosial selepas perkara itu didedahkan seorang pemerhati sukan, Piang Shankly di Twitter sebelum ia mendapat perhatian pengurusan Sabah FC.
Perkongsian tersebut mendakwa ada pemain kelab The Rhinos yang belum menerima gaji bagi musim lepas membabitkan tunggakan sehingga tiga bulan.
Pada masa itu, kelewatan pembayaran gaji sebahagian pemain Sabah FC dikaitkan dengan keputusan ahli politik Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin untuk berundur dari tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Walaupun beliau mengetuai SAFA dan bukan Sabah FC, tetapi beliau banyak membantu kelab itu dengan membawa banyak perubahan sehingga kelab berjaya menduduki tangga ketiga di saingan Liga Super termasuk ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia serta layak ke Piala AFC 2023.
Ketika Sabah FC berdepan hal tersebut, penyokong Kedah meluahkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa pemain-pemain kelab tersebut.
Tentu sekali simpati itu turut ditujukan buat figura kesayangan mereka, Baddrol Bakhtiar yang pernah menyarung jersi Hijau Kuning sejak 2006 sebelum berkelana ke Negeri di Bawah Bayu pada musim lepas.
Gambar Baddrol menunjukkan isyarat tiga jari dikaitkan dengan kelewatan pembayaran gaji di kelab Sabah FC. — Facebook
Malah sekeping gambar Baddrol menunjukkan isyarat tiga jari tular di laman sembang penyokong bola sepak Kedah hingga ada yang mengaitkannya dengan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan di Sabah.
"Gambar bila tu? Tengok tunjuk tiga jari saja macam kena pula kes tular gaji sangkut tiga bulan tu," komen Mokhzanie Zinal.
"Pasaipa (Kenapa) dalam gambar ni Badd tunjuk isyarat tiga jari tu? Ada apa-apa maksud tersirat ke?," ujar Ahmad Dzulkarnain.
Sementara itu, Yazmeen Rahmani berkata, apa-apa masalah berkaitan gaji perlu diselesaikan segera supaya tidak menjejaskan motivasi pemain, lebih-lebih lagi Sabah akan ke pentas Asia musim ini.
"Kasihan Badd and the gang (pemain Sabah). Semoga Sabah dapat selesaikan apa-apa masalah berbangkit berkaitan gaji cepat-cepat," katanya.
Namun dalam perkongsian terbaharu laman Facebook rasmi Sabah FC, Baddrol yang mengikuti latihan pramusim kelihatan ceria di atas padang dan seolah-olah memberi gambaran keadaan yang baik-baik sahaja di kelab tersebut.
Sebelum ini, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa dilaporkan berkata, tunggakan gaji yang berlaku dalam Liga Malaysia disebabkan sesebuah pasukan masih mengharapkan belas ihsan kerajaan negeri bagi mendapatkan dana walaupun kelab sudah berstatus swasta.
"Tunggakan gaji berlaku kepada pasukan Liga Super ketika ini bukanlah perkara menghairankan kerana mereka masih mengharapkan dana kerajaan negeri selain tidak memiliki penaja kukuh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram