Berang selalu main fon lewat malam, bapa ugut tetak anak perempuan guna parang di Subang


  • 112
  • Ahad, 15 Jan 2023

Suspek diberkas pada hari yang sama selepas mangsa membuat laporan polis. — Gambar hiasan

HANYA kerana bermain bermain telefon pintar hingga lewat malam seorang remaja perempuan berdepan dengan detik menakutkan selepas dia diugut dipukul dan ditetak dengan sebilah parang oleh bapa kandungnya sendiri di dalam kejadian di sebuah rumah di Lembah Subang, Selangor pada Jumaat.

Namun, tindakan suspek membawa padah apabila lelaki berusia 56 tahun itu diberkas pada hari yang sama oleh sepasukan anggota polis yang menyerbu lokasi kejadian selepas mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 1.18 petang Jumaat.

"Hasil laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kira-kira jam 10.30 malam bagi memberkas suspek.

"Siasatan awal dijalankan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran bertindak mengugut anaknya dengan menggunakan sebilah parang pemotong daging.

"Suspek juga sebelum itu bertindak memukul mangsa berumur 15 tahun itu dengan menggunakan tali pinggang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, polis turut merampas parang yang dipercayai digunakan ketika kejadian dan suspek kemudiannya direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram