AKTIVITI bersukan sememangnya merupakan antara perkara yang diminati ramai dengan pelbagai manfaat serta kebaikan yang boleh diperoleh jika melakukannya.
Sesuai dilakukan secara berseorangan mahupun berkumpulan, kedua-duanya memiliki kelebihan masing-masing dan ia bergantung pada jenis sukan yang dimainkan.
Namun, permainan secara berkumpulan juga boleh mengundang pergaduhan ataupun perselisihan faham sesama rakan.
Perkara itu boleh digambarkan menerusi insiden pergaduhan yang terjadi antara sekumpulan pelajar sekolah ketika bermain sukan bola keranjang di Boon Keng, Kallang, Singapura pada Jumaat.
Pergaduhan itu difahamkan terlebih dahulu tercetus antara dua remaja lelaki yang saling bertumbuk di gelanggang tersebut.
Salah seorang daripadanya tersungkur dan mengalami kecederaan dan sekali gus mengundang kemarahan rakannya yang kemudiannya turut serta dalam pergaduhan terbabit.
Melihatkan situasi yang kian meruncing, seorang remaja yang dipercayai berusia lebih tua cuba menghentikan kekacauan tersebut.
Namun, remaja berbaju hijau dan berseluar biru pendek itu gagal mengawal kemarahan lalu terus menolak dan menumbuk individu terbabit.
Warganet di Facebook turut menyuarakan pendapat berhubung isu tersebut.
"Budak jahat memang tiada ubat, perangai daripada kecil sehingga ke besar suka bergaduh," kata Tin Leong.
"Kalau setakat bergaduh dengan budak-budak berani la, cuba lawan dengan yang sebaya mesti takut," ujar Kent Chia.
"Pergaduhan itu nampak seperti pergaduhan kecil, tetapi semua mahu tunjuk hebat macam sudah dewasa sangat," tambah Jia Venn.
Pergaduhan itu berakhir dengan kanak-kanak terbabit menjerit dan memberitahu: "Ini adalah isu pergaduhan sesama budak, jadi tiada siapa perlu masuk campur," jeritnya.
Punca sebenar kejadian masih belum diketahui setakat ini dan belum ada sebarang laporan polis berhubung pergaduhan tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram