Tarik sokongan terhadap Hajiji boleh akibatkan krisis di Sabah


  • Politik
  • Ahad, 08 Jan 2023

Istana Seri Kinabalu menjadi tumpuan ketika ini susulan kemelut politik di Sabah. — Bernama

SABAH ketika ini mengalami kemelut politik selepas kedudukan Pengerusi Gabungan Rakyat (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri tergugat.

Jumaat lalu, Pengerusi Barisan Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri, mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

Menurut Bung Moktar, hal ini disebabkan BN Sabah hilang kepercayaan kepada Hajiji sebagai ketua menteri.

Selain itu, dakwanya, perjanjian BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun 2020 dilanggar, antaranya Hajiji serta pengikutnya keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan komponen PN.

Jeniri-Amir

Jeniri Amir

Menganggap alasan untuk menarik sokongan kepada Hajiji tidak cukup kuat, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan krisis dan ketidaktentuan berlaku di Sabah.

Penganalisis politik itu berkata, perkara itu juga dilihat tidak baik buat rakyat negeri itu, tatkala usaha menangani pelbagai masalah sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan dan ekonomi negeri serta tuntutan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Jadi, daripada apa yang berlaku, mereka seolah-olah mempunyai agenda peribadi, sekali gus menggambarkan pengerusi parti tidak berupaya mengawal apa yang berlaku di Sabah.

"Ini sudah tentu memberi gambaran buruk kepada rakyat bahawa, mereka seakan-akan gila kuasa dengan meletakkan kepentingan parti, berbanding kepentingan rakyat dan masa depan negeri itu.

"Ia juga tidak memberi gambaran baik kepada kerjasama di peringkat nasional di bawah Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sabah tampil mempertahankan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, dengan menolak keputusan BN negeri menarik sokongan itu.

Tiada kaitan pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan

1891389

BN Sabah mengadakan mesyuarat pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, Jeniri Amir menafikan keputusan BN Sabah menarik sokongan terhadap kerajaan negeri mempunyai kaitan dengan perasaan tersisih dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, beliau berkata, calon menteri Kabinet ditentukan oleh presiden atau pengerusi parti.

"Saya percaya bahawa yang menentukan (calon) itu adalah Presiden Umno dan jangan salahkan Perdana Menteri dalam apa yang berlaku. Ini kerana Perdana Menteri hanya melaksanakan apa yang dicadangkan presiden parti.

"Agihan jawatan menteri untuk Umno (BN) adalah lebih daripada cukup, tetapi soal Sabah adalah soal dalaman Umno sendiri yang tidak harus diletakkan kesalahan di bahu Perdana Menteri," tambahnya.

Terdahulu, BN Sabah berasa tersisih atau dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan, apabila tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Ketika ini, Istana Seri Kinabalu, di Kota Kinabalu, Sabah menjadi tumpuan petugas media, bagi melaporkan perkembangan semasa situasi politik Negeri di Bawah Bayu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram