Kemelut Sabah: Ahmad Zahid akan bertemu Bung Moktar lebih kerap


  • Politik
  • Selasa, 10 Jan 2023

Ahmad Zahid (kiri) akan melakukan pertemuan secara kerap dengan Bung Moktar ketika PAU 2022.

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memperhalusi lebih banyak perkara berbangkit dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin, susulan penarikan sokongan beliau terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan dilakukan secara kerap ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berlangsung dari 11 Januari hingga 14 Januari ini.

"Ada beberapa perincian akan dibincangkan dan saya akan berjumpa beliau dengan lebih kerap," katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kemelut politik Sabah.

Beliau berkata demikian ketika majlis Sembang Santai Bersama Media di Menara Kuala Lumpur, dekat ibu negara pada Selasa.

Screenshot 2023-01-10 204641

Ahmad Zahid

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebagai pimpinan tertinggi kerajaan, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyantuni aspek penerimaan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Hal ini kerana, adalah menjadi matlamat Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

"Ini akan melibatkan semua parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat," tambahnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan itu penting supaya tidak membebankan rakyat yang perlu keluar mengundi sekali lagi.

Tambahnya, demokrasi untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat bukan hanya diwujudkan parti-parti politik ketika pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, ia harus diterjemah dan dilaksanakan supaya tempoh berbaki dua tahun setengah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh diadakan semula.

"Maka, pembangunan, soal kebajikan dan kemudahan-kemudahan rakyat harus diberi keutamaan.

"Jika politiking jadi agenda, maka, perkara-perkara yang saya nyatakan itu mungkin tidak dapat diberi keutamaan.

"Saya minta semua pihak berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk bersama-sama Perdana Menteri dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram