Jika Ketua Menteri Sabah bertukar tangan, ada 2 calon dianggap layak ganti Hajiji


  • Politik
  • Isnin, 09 Jan 2023

Hajiji didakwa hilang sokongan majoriti ketika kemelut politik Sabah ketika ini.

KEMELUT politik di negara ini nampaknya masih tidak berkesudahan, meskipun kerajaan baharu sudah dibentuk pada Disember lalu.

Perkara itu berlaku apabila Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Jumaat lalu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu dilakukan susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan Hajiji, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.

Katanya, BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, namun Hajiji serta pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

Dalam pada itu, Bung Moktar dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mendakwa, Hajiji sudah hilang sokongan majoriti berikutan tindakan Umno dan BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Berikutan itu, ketiga-tiga pemimpin terbabit memohon Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri, dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang dibaca bersama Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

Dengan tindakan Parti Kesejahteraan Demokeratik Masyarakat (KDM), serta Umno dan BN Sabah menarik sokongan, kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 Adun iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh),dan masing-masing seorang Adun daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Lantaran itu, PRN Sabah terpaksa diadakan jika benar Hajiji didakwa hilang sokongan majoriti.

Pemerhatian Majoriti mendapati, ada dua calon dianggap layak menggantikan kedudukan beliau menerajui Sabah:

1) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

file7nn35tawy0p3cou48ak

Shafie Apdal

Presiden Warisan itu antara nama disebut-sebut sebagai pemimpin berwibawa menerajui Sabah.

Melihat kepada sejarah kepimpinannya, beliau pernah menjadi Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

Warisan merupakan parti yang mempunyai kerusi DUN kedua terbanyak dalam Sabah iaitu sebanyak 19.

2) Datuk Armizan Mohd Ali

d98075be84738d6e921d254e63ce900e63970d02b78b9

Armizan Mohd Ali — Bernama

Ahli Parlimen Papar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Armizan sebelum ini pernah memegang jawatan beberapa jawatan dalam Umno termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Papar, Exco Pemuda Umno, Pengerusi Biro Politik dan Pidato Pemuda Umno.

Pada tempoh musim kempen Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14, Beliau telah dilantik sebagai Ketua Sekretariat Manifesto Orang Muda Pemuda BN Sabah.

Pengalamannya dalam beberapa kepimpinan sudah tentu mampu menerajui kerajaan Sabah dengan sempurna.

Kekalkan kerajaan sedia ada

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Sementara itu, Prof Dr Rusdi Omar menyarankan agar kerajaan Sabah ketika ini perlu dikekalkan dan dipertahankan demi menjaga kestabilan politik.

Penganalisis politik itu berkata, pemimpin Sabah juga perlu duduk semeja untuk mencari konsensus yang boleh memberi keharmonian dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

"Kerajaan (Persekutuan) sudah memberi autonomi kepada Sabah.

"Oleh itu, semua berebut nak jadi Ketua Menteri. Itulah faktor menyebabkan berlaku pergolakan di negeri itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram