TAMAT perjalanan Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2022 susulan tewas 0-3 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat, Thailand pada Selasa.
Perjuangan Malaysia ke Stadium Thammasat dengan bekalan satu gol dari Bukit Jalil disukarkan lagi dengan asakan bertali arus anak buah kendalian Alexandre Polking sejak awal permainan.
Walaupun tewas, rata-rata penyokong tanah air bangga dengan pencapaian anak buah Kim Pan-gon walaupun tidak dibarisi pemain-pemain utama Harimau Malaya.
Perjalanan Harimau Malaya tamat selepas tewas kepada Thailand di pentas separuh akhir Piala AFF 2022. — Facebook/FAM
Pan-gon bukan sahaja berjaya membawa Harimau Malaya ke pentas separuh akhir Piala AFF, dia turut berjaya menamatkan penantian 42 tahun pasukan kebangsaan untuk melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.
Jika diimbau kembali, sebelum kehadiran Pan-gon di Malaysia pada Februari tahun lalu banyak nama yang disebut-sebut untuk menggantikan bekas pengendali kebangsaan yakni Tan Cheng Hoe.
Namun jika Pan-gon bukan jurulatih skuad kebangsaan ketika ini, adakah anda merasakan tiga individu yang dikaitkan dengan skuad kebangsaan berjaya mengubah landskap dan corak permainan Harimau Malaya?
Hak-bum dikatakan antara dua calon terakhir bersama Pan-gon untuk membimbing skuad Harimau Malaya. — Agensi
1. Kim Hak-bum
Kim Hak-bum merupakan bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B23) Korea Selatan yang mana sebelum ini dia berjaya membantu pasukan tersebut membantu pasukan tersebut memenangi pingat emas Sukan Asia 2018.
Sebelum melatih pasukan kebangsaan Korea itu selama tiga tahun, jurulatih berusia 62 tahun itu juga pernah mengendali beberapa kelab di negaranya dan di antaranya ialah Gwangju FC (2017), Seongnam FC (2014-2016) dan Gangwon FC (2012-2013).
Selain mempunyai rekod cemerlang melatih beberapa kelab, Hak-bum juga dikenali sebagai jurulatih yang mengutamakan disiplin tinggi.
Dia dikatakan antara dua nama terakhir bersama Pan-gon sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan.
Hodak pernah tidak menolak kemungkinan untuk menerima jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan sekiranya ditawarkan oleh FAM. — Agensi
2. Bojan Hodak
Sebelum kehadiran Pan-gon, Ketua Jurulatih KL City FC dianggap sebagai antara pilihan utama oleh orang ramai untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan oleh Cheng Hoe.
Merupakan seorang jurulatih yang berpengalaman kerana pernah mengendalikan beberapa pasukan di Liga Malaysia seperti UPB-MyTeam, Kelantan, JDT, dan Pulau Pinang, saham Hodak mulai melonjak selepas berjaya membawa KL City FC muncul juara Piala Malaysia pada 2021.
Sebelum ini beberapa laporan media turut mendedahkan Hodak tidak menolak kemungkinan untuk menerima jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan sekiranya ditawarkan oleh FAM dengan syarat tertentu.
Ketika itu, KL City FC turut tidak mempunyai halangan untuk melepaskan Hodak sekiranya diperlukan.
Namun semuanya terjawab apabila FAM melantik dan memperkenalkan Pan-gon di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Februari 2022.
Media Thailand pernah melaporkan FAM bersedia untuk mempertimbangkan Kiatisuk Senamuang sebagai calon Ketua Jurulatih Harimau Malaya. — Agensi
3. Kiatisuk Senamuang
Kekalahan kepada Thailand pastinya mengecewakan penyokong Harimau Malaya apabila tidak dapat mengulangi kejayaan melangkah ke peringkat separuh akhir pada edisi Piala AFF 2018.
Namun adakah anda tahu bahawa nama legenda bola sepak Thailand, Kiatisuk Senamuang pernah menjadi sebutan dan dianggap antara calon berpotensi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.
Ini kerana sebuah media terkenal Thailand, Thairath pernah melaporkan FAM bersedia untuk mempertimbangkan Kiatisuk Senamuang sebagai calon walaupun dia ketika itu merupakan ketua jurulatih kelab Hoang Anh Gia Lai (HAGL) dalam sainga V.League (Vietnam).
Lebih dikenali sebagai Zico, dia dilantik sebagai pengendali HAGL pada 20 November 2020 dengan kontrak selama 2 tahun.
Kiatisuk Senamuang sebenarnya memiliki rekod yang agak baik di pentas antarabangsa selaku Ketua Jurulatih Thailand sebelum ini.
Dia mula mengambil peranan sebagai Ketua Jurulatih Thailand selepas berjaya membawa skuad Thailand B-23 mara ke peringkat separuh akhir Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.
Dia kemudiannya membimbing skuad kebangsaan Thailand sehingga tahun 2017 dan sepanjang tempoh 3 tahun itu Kiatisuk Senamuang berjaya menjuarai kejohanan AFF Suzuki Cup 2014 dan 2016, selain membawa Thailand ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 Zon Asia.
Pan-gon hanya tewas lima kali dan meraih 12 kemenangan dalam 17 perlawanan terakhir bersama Harimau Malaya.
Namun semuanya sudah terjawab apabila keputusan membawa Pan-gon adalah tepat buat skuad Harimau Malaya.
Sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan, Pan-gon hanya tewas lima kali dan meraih 12 kemenangan dalam 17 perlawanan terakhir bersama Harimau Malaya.
Selain itu, Pan Gon berjaya memperbaiki ranking skuad kebangsaan dari kedudukan154 dunia sehingga 145 dunia dan dikhabarkan bakal melonjak 142 dunia selepas edisi Piala AFF ini tamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram