[VIDEO] Polis buru pemilik galeri sembur air halau gelandangan wanita macam anjing


  • Benua
  • Khamis, 12 Jan 2023

Tangkap layar seorang pemilik galeri seni mewah, memancut air ke arah seorang gelandangan wanita berhampiran galerinya.

SEORANG lelaki dipercayai pemilik galeri seni mewah, San Francisco dihujani kecaman dan tohmahan susulan tindakan biadabnya yang mencerca serta menyembur air pada seorang gelandangan wanita di California, USA baru-baru ini.

Tertuduh yang dikenali sebagai Collier Gwin, mengaku bahawa perbuatannya itu disengajakan kerana mahu menghalau wanita terbabit beredar dari kawasan kaki lima galerinya.

Presiden Lembaga Penyelia San Francisco, Aaron Peskin berpendapat, itu bukan layanan yang sepatutnya diterima oleh manusia.

"Saya tidak kisah apa situasi dihadapi pemilik galeri itu, tetapi ini bukan cara manusia melayan manusia lain.

"Ia tidak wajar dilakukan dan satu kesalahan besar," katanya.

Saksi yang merakamkan kejadian itu, Edson Galvez berkata, dia pada awalnya menyangkakan bahawa lelaki tersebut sedang menyiram pokok.

"Semasa saya sedang merakam, saya ingatkan lelaki itu sedang menyiram tumbuh-tumbuhan, tetapi saya terkejut apabila menyedari bahawa ia merupakan seorang wanita.

"Gelandangan itu tidak masuk ke dalam galeri tersebut, sebaliknya hanya tidur di jalanan dengan tenang sebelum disembur air oleh pemilik tersebut," katanya.

Dalam pada itu, pihak polis dilaporkan hadir ke lokasi berkenaan selepas daripada kejadian itu namun Gwin difahamkan telah menghilangkan diri.

Polis masih memburu pemilik galeri seni tersebut dengan setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut dikemukakan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram