Kilang ais tercemar di Kuantan diarah tutup


  • Primer
  • Khamis, 12 Jan 2023

Sebuah kilang ais diarah tutup selepas berlaku pencemaran dalam ais yang dihasilkan. — Facebook

SEBUAH premis pengeluaran ais blok diarah tutup selepas Jabatan Kesihatan negeri mendapati terdapat pencemaran bakteria dalam sampel di Kuantan, Pahang.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, Mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa telah ditemukan dalam sampel ais bongkah pada 15 Disember lalu dan keputusan yang diterima pada 8 Januari daripada pensampelan semula masih menunjukkan pencemaran

"Mengikut peruntukan dalam Jadual 25A, Akta Makanan 1983, kehadiran Pseudomonas aeruginosa tidak dibenarkan dalam produk ais blok.

"Pseudomonas aeruginosa boleh memberi kesan serius kepada kesihatan, terutamanya kepada orang yang mempunyai sistem imun yang lemah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Nor Azimi menambah, lesen pengeluaran ais blok untuk premis itu juga telah tamat tempoh pada 19 Disember tahun lepas.

"Premis perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan tiada pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa dalam produk ais bongkah.

"Premis itu akan dibenarkan beroperasi semula apabila sampel dan lesennya mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, tindakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan ais blok kepada nelayan kerana terdapat kilang lain yang masih beroperasi di daerah ini.

Dia turut mencadangkan agar nelayan atau pengusaha industri perikanan melihat sumber ais blok dari kilang lain bagi memastikan keselamatan makanan laut tidak terjejas.

Jelasnya keperluan penyediaan ais blok yang selamat adalah terpakai kepada semua premis yang menghasilkan ais blok bagi maksud perdagangan atau perniagaan termasuk bagi tujuan penyejukan dan penyediaan makanan.

Tambahnya, mana-mana pemilik premis yang tidak mematuhinya boleh didenda, jika sabit kesalahan, sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram