Gambar kenangan jadi bukti, polis disiasat benarkan rakan pegang senjata depan balai di awal pagi


  • 112
  • Khamis, 12 Jan 2023

Gambar tular yang memaparkan seorang anggota polis membenarkan rakannya memegang senjata api.

GAMBAR tular yang memaparkan seorang anggota polis membenarkan rakannya memegang dan bergambar dengan senjata api diambil untuk tujuan kenang-kenangan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, gambar itu kemudian tular di media sosial menerusi satu akaun bernama @evvok.

"Siasatan awal mendapati anggota polis itu bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, Johor manakala lelaki yang memegang senjata api jenis HK-MP5 itu pula adalah rakannya.

"Gambar terbabit diambil oleh seorang lagi orang awam pada pukul 2.43 pagi Rabu di hadapan balai polis itu.

"Ketika gambar itu diambil, anggota polis berkenaan sedang bertugas membuat pengawalan di Pos Pengawal Balai Polis terbabit," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut Mohd Sohaimi, kedua-dua individu yang memegang senjata api dan mengambil gambar itu adalah rakan kepada anggota polis berkenaan yang kesemuanya berusia 25 tahun.

Namun, katanya, tindakan anggota polis itu membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tata kelakuan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

"Anggota itu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram