Wanita maut dirempuh lori kontena ketika kereta rosak tepi jalan di Kuala Kangsar


  • 112
  • Selasa, 10 Jan 2023

Mangsa maut selepas dirempuh lori kontena ketika menunggu di tepi jalan ekoran kenderaannya rosak. — Facebook

SEORANG wanita maut selepas dirempuh sebuah lori ketika menunggu di luar keretanya yang rosak di Kilometer 235.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar, Perak.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi dan mangsa, B Karthigayayini maut di tempat kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kejadian melibatkan sebuah kereta Honda Civic dinaiki mangsa bersama dua yang lain serta sebuah lori kontena tanpa muatan.

Menurutnya, kereta berkenaan telah mengalami kerosakan dan berhenti di bahu jalan.

"Lori terbabit telah melanggar bahagian tepi kenderaan itu dan ketika itu mangsa berada di sisi kereta berkenaan.

"Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan yang hadir sementara dua lagi dalam keadaan selamat," katanya.

Tambahnya berkata, tiada mangsa tersepit dan operasi tamat pada jam 6.02 pagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram