Lebuh raya di Perak sesak 11km nahas 9 kenderaan termasuk 2 treler


  • 112
  • Selasa, 10 Jan 2023

Lapan orang cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan buah kenderaan di Gopeng, Perak. — JBPM Perak

SERAMAI tujuh individu cedera dalam kemalangan membabitkan sembilan kenderaan termasuk dua treler di Kilometer 307.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, Gopeng, Perak pada malam Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kemalangan membabitkan dua lori treler bersama tujuh kenderaan lain yang berlanggar dari arah belakang.

Katanya, terdapat kesemua 15 mangsa insiden itu, dengan tujuh daripadanya cedera, manakala lapan lagi selamat.

Menurutnya, panggilan mengenai kejadian diterima pukul 11.06 malam tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dibantu dengan BBP Tapah digerakkan ke lokasi.

Katanya, antara yang dikenal pasti cedera dalam insiden itu adalah tiga individu yang menaiki Toyota Yaris, serta seorang yang berada di dalam Honda Civic.

"Tiada mangsa tersepit dan kesemua mereka dikeluarkan oleh orang awam ketika bomba sampai di lokasi kejadian.

"Terdapat beberapa mangsa yang mengalami kecederaan, diberikan rawatan awal sebelum mereka dibawa ke Hospital Ipoh (Hospital Raja Pemaisuri Bainun)," katanya dalam satu kenyataan awal pagi Selasa.

Menurutnya, kenderaan terbabit adalah dua treler membawa kontena; Volkswagen (1); BMW (1); Toyota Yaris (1); Perodua Alza (1); Honda Civic (1); Perodua Aruz (1); dan Honda CRV (1).

Sementara itu, Plus melalui ciapan di Twitter @plustrafik, memaklumkan insiden kemalangan itu mengakibatkan trafik sesak sehingga 11 kilometer, setakat 2.32 pagi Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram