Tujuh Adun PH sokong Hajiji, tolak kerajaan 'pintu belakang'


  • Politik
  • Sabtu, 07 Jan 2023

Tujuh Adun menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah kini.

SEBANYAK tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kesemua Adun berkenaan yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Datuk Christina Liew; Adun Tajung Papat, Datuk Poon Fung Ming; Adun Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; Adun Luyang, Phoong Jin Zhe; Adun Kapan, Jannie Lasimbang dan Adun Likas, Tan Lee Fatt.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, kesemua mereka kesal melihat Sabah berhadapan kemelut politik yang tidak sepatutnya berlaku.

"Seharusnya fokus utama kita adalah memastikan matlamat perjuangan iaitu membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha memastikan perjuangan MA63 direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri.

"Kami mengulangi pendirian sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara 'pintu belakang'.

"Pada masa sama, kami tidak bersetuju DUN dibubarkan sekiranya kemelut ini berterusan dan kedudukan DUN tergantung," katanya.

Menurut mereka, sokongan terhadap Hajiji adalah selari dengan prinsip mereka untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam usaha seperti Langkah Sheraton.

Tambahnya, mereka juga bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat persekutuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram