Kekosongan blok pembangkang DUN Sabah bukti tak puas hati — Pakar


  • Politik
  • Selasa, 10 Jan 2023

Kesemua Adun pembangkang Sabah dilapor tidak hadir ketika sidang khas DUN Sabah pada Selasa. — Agensi

SEJAK Barisan Nasional (BN) mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Jumaat lalu, kemelut politik di negeri itu masih berpanjangan sehingga hari ini.

Pengumuman itu sekali gus menyebabkan kedudukan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) berubah ke blok pembangkang.

Namun, Adun pembangkang termasuk Ketua Umno Sabah dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebaliknya dilapor tidak hadir dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Dalam kedudukan tempat blok pembangkang, turut dilihat tanda nama yang diletakkan di kerusi iaitu Adun Karambunai, Datuk Yakub Khan; Adun Sukau, Datuk Jafry Ariffin dan Adun Sungai Manila, Mokran Ingkat serta Adun dari parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketidakhadiran itu dilapor menggunakan alasan tertentu, namun mereka menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan dalam sidang DUN khas itu.

Rusdi-Omar (1)

Rusdi Omar

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, ketidakhadiran itu menunjukkan ketidakpuashatian BN Sabah terhadap kerajaan negeri ketika ini.

Mahu atau tidak, penganalisis politik itu berkata, kerajaan Sabah perlu mengikut jejak langkah kerajaan Pusat, dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Perlu ada negosiasi pemimpin BN untuk cari penyelesaian terbaik supaya kemelut Sabah tidak memberi kesan besar kepada kerajaan Pusat.

"Sudah tentu akan ada campur tangan daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama, Rusdi berkata, Hajiji perlu ingat bahawa beliau dilantik sebagai Ketua Menteri sebelum ini atas kerjasama daripada BN.

"Jadi, Hajiji tak boleh menggunakan kuasa beliau merombak Kabinet dan bercanggah dengan kerajaan Pusat.

"Kalau berlaku 'contradict', maknanya takkan lama kerajaan ini," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram