Hajiji dapat restu Anwar, kekal terajui Sabah


  • Politik
  • Selasa, 10 Jan 2023

Anwar (tengah) bersama Ahmad Zahid (kiri) ketika bertemu Hajiji di kediaman rasminya di Sabah.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Anwar berkata, beliau juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah kepimpinan Hajiji.

"Kita beri ruang kepada Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira 40 minit dengan Hajiji dan wakil rakyat blok kerajaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Sabah pada malam Isnin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan wakil rakyat di Sabah yang hadir dalam pertemuan itu bagi mendengar pandangan demi kebaikan negeri.

Jumaat lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian Umno dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan Sabah mempunyai perkara penting iaitu pembentangan usul penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Dewan Undangan Negeri Sabah dalam usaha mengembalikan hak negeri itu.

"Satu Rang Undang-Undang penting (akan dibentangkan) untuk mengembalikan hak Sabah yang saya usulkan kepada Jemaah Menteri dan ini perubahan besar dan bagi saya (adalah) keutamaan," katanya.

Kerajaan Sabah akan membentangkan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri yang dijadual berlangsung pada pukul 10 pagi Selasa.

Hajiji sebelum ini berkata, perkara tersebut telah lama diperjuangkan pemimpin Sabah dan langkah itu dilihat signifikan dalam merealisasikan tuntuan negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada 21 Dis, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghormati MA63. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram