PERKHABARAN mengatakan bekas pemain import Kelantan FC, Jack Hindle menawarkan diri untuk bermain bersama skuad The Red Warriors (TRW) hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong kelab Pantai Timur itu.
Laman Facebook The Red Warriors Malaysia: Info Bolasepak TRW Kelantan FC | Malaysia berkongsi berita itu selepas pemain dari England tersebut meninggalkan komen mengatakan dia teruja untuk menyarungkan jersi TRW semula.
Menurut Hindle, dia berminat untuk beraksi semula dengan Kelantan FC, selepas pemilik kelab itu, Norizam Tukiman menghubunginya untuk tujuan berkenaan.
"Zam (Norizam) message me...I'm happy to come and sign again for Kelantan. It would be something I'd be very interested in. (Zam ada hubungi saya...Saya gembira untuk menyertai Kelantan semula. Ia sesuatu yang menarik minat saya)," katanya.
Berita itu bagaimanapun kurang mengujakan sebahagian penyokong Kelantan FC yang berasakan pemain itu tidak cukup mantap untuk dibawa masuk semula ke dalam pasukan, lagi-lagi TRW bakal bersaing di Liga Super musim ini.
"Tak payah la, dulu dia dengan Shamil (Nurshamil Abd Ghani), banyak lagi Shamil yang gol. Hindle ni injured sokmo (selalu).
"Pastu pongoh tolok (marah tolak) pengadil. Tak payah la," ujar Imam Razak Ameerul.
Malah ada penyokong menganggap sikap panas baran Hindle hanya akan mendatangkan masalah kepada pasukan kelak.
"Jenih ponggoh koksey (Jenis cepat marah kalau lapar). Cuma sini gapo (apa) yang kita napok (nampak), pengurusan baik sebab tu bekas pemain naik balik main semula," kata Abdul Rahman Samad.
Hindle (jersi nombor 10) dirasakan boleh lebih baik dijadikan pemain Liga Simpanan. — Facebook
Kalau sekalipun Kelantan FC mahu mendapatkan tandatangan Hindle, penyokong berpendapat pemain berusia 28 tahun kelahiran Warrington itu lebih baik dijadikan pemain Liga Simpanan.
Bermain di posisi penyerang, Hindle dirasakan lebih baik diletakkan di pasukan Liga Simpanan untuk membolehkannya mendapat minit permainan berbanding hanya duduk di bangku simpanan pemain Liga Super.
Untuk rekod, Hindle pernah melengkapkan kuota pemain import TRW bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021 selepas menandatangani kontrak bersama kelab Pantai Timur itu.
Dia merupakan penyerang yang banyak beraksi bersama kelab bawahan England seperti Barrow, Gateshead dan South Shields. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram