[VIDEO] Pengurus hotel mewah kantoi curi cincin di Publika, betul ke ada masalah ketagih?


  • Tular
  • Selasa, 03 Jan 2023

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita mencuri sebentuk cincin di Publika Bazaar & Craft Market.

TINDAKAN seorang wanita mencuri sebentuk cincin membawa padah apabila perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) gerai jualan aksesori berkenaan.

Difahamkan kejadian dipercayai di Publika Bazaar & Craft Market yang berlansung di Publika, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Melalui satu video tular yang dimuat naik halaman Facebook, We Are Malaysians pada lewat malam Isnin memaparkan wanita itu bersama rakannya sedang membelek-belek item aksesori yang diletakkan di atas meja. Dia juga dilihat mencuba seutas rantai sebelum bereder ke tempat cincin berkenaan diletakkan.

Wanita itu kemudiannya mencuba beberapa cincin perak sebelum menyimpan sebentuk cincin berkenaan ke dalam beg tangan yang dijinjitnya.

Kemudiannya dia dilihat menuju ke arah pemilik gerai jualan aksesori berkenaan kononnya untuk bertanyakan sesuatu.

Video berdurasi seminit itu kini sudah mendapat lebih daripada 178,000 tontonan. Turut tular tangkap layar akaun Facebook dan Linkedin wanita berkenaan.

We Are Malaysians turut mendakwa wanita berkenaan bekerja sebagai pengurus hotel mewah di ibu negara dan juga merupakan graduan sebuah universiti swasta terkenal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan pendapat yang berbeza mengenai kejadian tersebut.

Seorang pengguna Facebook, Isadora Rosabelle berasakan wanita berkenaan mempunyai masalah ketagihan mencuri atau Kleptomania.

"Saya yakin barang dia ambil itu tidak mahal, kadang-kadang sudah menjadi tabiat. Kleptomania," katanya.

photo_6170421653096477097_y

Turut tular tangkap layar identiti wanita itu di Facebook dan Linkedin.

Peggy pula berpendapat perempuan itu harus dikenakan hukuman yang sewajarnya.

"Harap owner kedai dah buat laporan polis, patut dikenakan tindakan. Tak mungkin kerja pengurus hotel mewah tidak mampu bayar. Memalukan bangsa betul," tulisnya.

Sementara itu, menurut Kenzo Kobayashi, pemilik gerai jualan aksesori berkenaan sudah membuat laporan polis dan berjumpa dengan wanita tersebut.

Kenzo yang juga rakan kepada mangsa (pemilik gerai) mendakwa perkara tersebut masih dalam siasatan polis.

"Pemilik dah buat buat laporan polis dan dah berjumpa dengan suspek. Biarlah mereka sendiri yang selesaikan," katanya.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram