'Isteri saya tak bekerja, tanggung beban hutang', inspektor polis tak mengaku rogol, amang seksual gadis bawah umur dalam bilik siasat IPD Yan


Tertuduh Mohd Maliki Azmi, 34, didakwa merogol gadis bawah umur itu dalam bilik siasatan IPD Yan, Kedah pada 28 Disember lepas. — Gambar kredit/Agensi Keselamatan Kedah

SEORANG inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah pada Khamis atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Mohd Maliki Azmi, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor itu telah didakwa merogol remaja berusia 16 tahun terbabit dengan kerelaannya dengan menggunakan kedudukan berkuasa terhadap mangsa.

Mohd Maliki dituduh melakukan perbuatan itu di bilik pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan lebih kurang pukul 6.30 petang pada 28 Disember 2022 mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Susulan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a), Seksyen 14(c) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi pertuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Mohd Maliki memohon jaminan rendah atas alasan tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu.

"Selain itu saya juga perlu menyara ibu bapa, isteri tidak bekerja dan saya menanggung beban hutang yang tinggi,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan merogol dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga kes amang seksual berserta syarat tambahan melarangnya mengganggu mangsa kes itu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan untuk semua kes ditetapkan pada 6 Februari bagi lantikan peguam serta serahan dokumen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram