SEORANG remaja lelaki melalui detik cemas apabila dilanggar sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Myvi di Astana Alam 3, Puncak Alam, Selangor pada Ahad.
Kemalangan terbabit difahamkan berlaku berhampiran sebuah sekolah di kawasan tersebut ketika remaja berkenaan sedang ingin melintas di laluan berkenaan.
Namun, tindakan remaja lelaki itu yang tidak menoleh ke kiri dan kanan sebelum melintas membawa padah apabila dia dirempuh pemandu yang gagal menekan brek kecemasan ketika kejadian.
Kecuaian remaja terbabit dipersalahkan oleh warganet dan rakaman itu kian hangat diperkatakan di laman media.
Susulan kejadian itu, pemandu yang juga merupakan suspek dalam insiden tersebut pantas turun dari kenderaannya untuk melihat keadaan mangsa.
Beberapa penunggang p hailing turut berada di lokasi kejadian dan memberi bantuan kepada remaja terbabit selepas rempuhan itu.
Difahamkan, kawasan tersebut sering berlaku kemalangan membabitkan pelajar sekolah dan menurut komen warganet, ia bukan kali pertama berlaku.
"Memang kawasan situ kerap berlaku pelanggaran lagi-lagi pelajar sekolah berbasikal, pemandu memang kena bawa perlahan sebab budak melintas tak tentu masa." kata Izuwan Rahman.
"Kenapa tak tengok kiri kanan dulu dik, awak tu badan kecik mana orang nak nampak kalau keluar melintas tiba-tiba macam itu," jelas Nurul Nazifah.
"Kalau ikutkan pemandu bawa perlahan je, tapi benda nak jadi budak tu pun salah cuai tak tengok jalan, harap tak serius sangat kecederaan dia," tambah Hanis Zariman.
Keadaan mangsa tidak dapat dipastikan buat masa sekarang dan video asal rakaman dashcam itu juga telah dipadam oleh pemilik.
Belum ada sebarang laporan polis berhubung insiden terbabit dan diharapkan agar semua pemandu lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan persekolahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram