[VIDEO] Bengang kaunter ditutup, pelanggan maki wanita hamil di Econsave


  • Tular
  • Isnin, 02 Jan 2023

Tangkap layar seorang juruwang wanita yang dimarahi pelanggan di sebuah pasar raya.

GARA-gara terpaksa menunggu lama di kaunter bayaran, seorang pelanggan lelaki menimbulkan kekecohan apabila menengking dan mencerca juruwang wanita di sebuah pasar raya Econsave pada Ahad.

Ketika kejadian, kaunter berkenaan telah pun ditutup dan pekerja terbabit difahamkan sudah tamat waktu masa bekerja sekitar pukul enam petang.

Namun, situasi itu gagal diterima baik oleh seorang pelanggan lelaki yang mendakwa dirinya terpaksa menunggu lama di kaunter tersebut selain sikap biadab juruwang itu juga turut dipertikaikan dalam insiden berkenaan.

Menurut perkongsian di laman TikTok peribadi lelaki tersebut, juruwang wanita itu dikatakan sengaja mahu menutup kaunter meskipun dia dan ibunya sudah menunggu lama di situ.

Situasi kian meruncing apabila wanita berkenaan meninggikan suara selepas beberapa kali dicerca dan diancam oleh lelaki berkenaan.

Perkongsian itu hangat diperkatakan warganet dan telah menerima lebih 300,000 jumlah tontonan setakat ini.

Menurut komen salah seorang warganet di laman media, pekerja wanita tersebut merupakan ibu mengandung dan kaunter itu ditutup selepas menerima arahan daripada pihak atasan.

@Nrlaliaa_ yang merupakan rakan kepada mangsa berkata, wanita mengandung itu dimarahi secara tiba-tiba walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Kalau ikut CCTV, kawan saya dah bagitahu pelanggan itu yang kaunter dah ditutup tetapi ibunya masih berkeras mahu menunggu.

"Selepas itu, budak lelaki itu datang marah tiba-tiba katanya dah beratur lama dengan ibunya dan tinggikan suara kepada kawan saya.

"Kawan saya dah habis waktu bekerja dan dia tutup kaunter pun sebab pengurus yang suruh lagi pun kerja lebh masa tiada siapa pun nak bayar, pihak Econsave pun tak buang kawan saya sebab dah tengok CCTV," katanya di ruangan komen.

Sementara itu, dakwaan tertuduh yang kurang berpuas hati atas jelingan mata diberikan juruwang wanita itu turut menerima perhatian ramai dengan rata-rata warganet menyebelahi pekerja tersebut.

"Kalau aku dekat situ, bukan setakat jeling mata, memang aku maki dia balik sampai dia menangis minta maaf," kata Amni Zulaikha.

"Kalau perangai tu rasa macam diva sangat, jangan beli barang di situ, pergi cari pasar raya lain yang lebih eksklusif dan layanan kelas A, buat malu je perangai lelaki tak hormat ibu mengandung," tambah Ziyad Naufal.

Terbaharu, lelaki berkenaan telah memadam video tersebut dan turut membuat permohonan maaf secara terbuka di laman TikToknya.

Namun, lokasi sebenar pasar raya itu masih belum dapat dipastikan dan Majoriti telah usulkan pertanyaan kepada pihak pengurusan Econsave berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram