Rezeki terpijak Obiozor, rupa-rupanya bakal asah tanduk The Bos Gaurus


  • Podium
  • Rabu, 04 Jan 2023

Obiozor memulakan karier dalam bola sepak di skuad bawah 19 tahun Ocean Boys. — Agensi

PERAK FC pada Selasa menandatangani penyerang Nigeria, Christian Obiozor untuk menambah kekuatan serangan di barisan hadapan pasukan The Bos Gaurus.

Perkhabaran itu sekali gus mengundang rasa teruja kepada penyokong Perak FC yang ternanti-nanti pengumuman import baharu selepas barisan pemain tempatan menyertai pasukan tersebut.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan utama benua Afrika.

Memiliki ketinggian 1.92 meter, Obiozor memulakan karier dalam bola sepak di skuad bawah 19 tahun Ocean Boys, berdasarkan dapatan di transfermarkt.com.

Antara kelab di Afrika yang pernah disertai termasuklah Enyimba Aba, Enugu Rangers, Kano Pillars dan Orlando Pirates.

Obiozor juga berpengalaman beraksi dalam liga Tunisia selepas menyertai kelab Stade Gabesien sebelum ke kancah liga Lubnan menerusi penyertaan ke kelab Shahab Al-Sahel, Al-Hussein SC dan Tadaman Sour.

Pengalamannya yang luas selama lebih 10 tahun di liga antarabangsa bakal memberi kelebihan kepada pemain itu beraksi di pentas Liga Malaysia yang pastinya akan menjanjikan suatu kelainan.

Selain itu, Obiozor juga pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Nigeria yang ketika itu menduduki tempat ketiga Kejohanan Negara-Negara Afrika 2014.

Pasukan Super Eagles yang ketika itu di bawah kendalian jurulatih, Stephen Keshi menewaskan Zimbabwe untuk penentuan tempat ketiga dan keempat dengan Obiozor sebagai penjaring tunggal perlawanan.

Ketajaman pemain itu pastinya akan ditagih pasukan Perak FC yang bakal mengasah tanduk di saingan Liga Super musim ini.

Christian-Obiozor

Mungkin menjadi cabaran buat Obiozor untuk membiasakan diri beraksi di pentas Asia Tenggara dan Liga Malaysia. — Agensi

Lagi-lagi pemain tiu akan mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman yang cukup disegani, Lim Teong Kim yang pernah mengendalikan skuad remaja Bayern Munich sebelum ini.

Selain kelebihan itu, bagai rezeki terpijak buat Obiozor apabila penyertaannya dianggap kena pada waktu ketika kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia seperti Kelantan FC dan Selangor FC berebut mendapatkan khidmat pemain Afrika.

Begitupun, dalam keghairan itu, mungkin menjadi cabaran buat Obiozor untuk membiasakan diri beraksi di pentas Asia Tenggara dan Liga Malaysia.

Selain itu, keserasian sesama rakan sepasukan juga antara lain menjadi cabaran bagi pemain berkenaan.

Sungguhpun demikian, bekas penyerang Enyimba itu dijangka tidak berdepan cabaran rumit kerana rakan senegara, Sunday Afolabi turut beraksi bersama Perak ketika ini.

Apapun pro kontra yang dihadapi Obiozor di skuad The Bos Gaurus, para penyokong pastinya mengharapkan sentuhan berbisa pemain itu sebagai peledak utama pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram