EKORAN krisis ekonomi yang berterusan di Pakistan, segelintir rakyatnya mengambil langkah terdesak untuk cuba mendapatkan bekalan gas memasak.
Melalui satu video tular yang disiarkan agensi media antarabangsa NDTV, penduduk tempatan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut Pakistan dilihat menggunakan beg plastik besar untuk menyimpan gas petroleum cecair (LPG) ketika negara itu menghadapi kekurangan stok silinder gas memasak.
Sementara itu, memetik DW.com, beg plastik berkenaan diisi dengan LPG di kedai dan untuk mengelak kebocoran, penjual menutup ketat bukaan beg menggunakan injap yang direka khas.
Beg plastik yang diisi gas memasak itu kemudiannya dijual kepada orang ramai. Ia mengambil masa kira-kira sejam untuk mengisi tiga hingga empat kilogram (kg) gas dalam beg plastik.
Video tular yang dimuat naik di laman Twitter R_Sighn itu memaparkan dua kanak-kanak membawa beberapa beg plastik putih gergasi berisi LPG.
Pemilik Twitter berkenaan turut memaklumkan beg plastik berisi bahan api LPG itu akan dijual dan setakat ini belum pernah terjadi gas tersebut meletup.
"Di Pakistan, amalan menggunakan gas yang dibungkus dalam beg plastik dan bukannya silinder untuk memasak telah meningkat. Gas dijual dengan mengisi beg di dalam kedai yang disambungkan ke rangkaian saluran paip gas. Orang ramai menggunakannya di dapur dengan bantuan pam sedut elektrik kecil," tulisnya.
Menurut seorang penduduk tempatan, mereka terpaksa menggunakan kaedah tersebut kerana harga tong gas mahal.
"Terdapat amaran tentang beg plastik ini menyebabkan letupan gas, tetapi pertama, saya tidak pernah mendengar tentang apa-apa kemalangan menggunakannya dan kedua, walaupun bimbang ia boleh berlaku tetapi sebagai orang miskin kami tidak mempunyai pilihan lain kerana tong gas mahal," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram