SEORANG wanita menemui ajal pada ambang malam tahun baharu, apabila bunga api termasuk ke dalam pakaiannya dan meletup.
Menerusi video tular, kematian tragis Elisangela Tinem, 38, dilapor berlaku di hadapan dua anaknya.
Video tersebut pada mulanya memaparkan orang ramai sedang menonton bunga api di pantai Sao Paolo, Brazil sebelum kamera sempat merakamkan letupan itu.
"Saya melihat cahaya sebelum memeluk ibu. Kemudian semua orang mula menjerit.
"Saya juga melihat seorang wanita terbaring di tanah dalam keadaan berdarah, manakala seorang kanak-kanak lelaki turut berada berdekatan dengannya," kata seorang saksi yang enggan dikenali.
Elisangela Tinem — Agensi
Bunga api tersebut bukan milik mangsa atau keluarganya, menyebabkan polis tempatan menyiasat kejadian itu sebagai kes bunuh, lapor media antarabangsa.
Kesedihan atas kematian wanita itu turut diluahkan oleh salah seorang ahli keluarganya di media sosial.
"Saya tak percaya dengan apa yang terjadi. Saya sayang semua ahli keluarga.
"Saya berdoa agar tuhan menenangkan hati anda di saat-sat sukar ini," tulisnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram