Polis kesan mesej tular aktiviti 'push-pocket', peras ugut kawasan tumpuan rupanya berlaku pada 2016


  • 112
  • Rabu, 04 Jan 2023

Mesej mengenai kegiatan itu dikatakan berlaku pada 2016 dan kembali tular di beberapa platform media sosial. — Gambar hiasan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kegiatan jenayah push-pocket dan peras ugut berlaku di kawasan tumpuan seperti di lapangan terbang dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, mesej mengenai kegiatan itu tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

"Menerusi mesej itu, penjenayah menggunakan modus operandi dengan memasukkan telefon bimbit atau dompetnya ke dalam beg mangsa sebelum menuduh mangsa mencuri barangan miliknya.

"Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes dan sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian ‘curi’ akan dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noorsiah meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Menurutnya, tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram