[VIDEO] Gara-gara curi syampu, lelaki dipukul berjemaah ditahan polis di Semporna


  • 112
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Tangkap layar video lelaki itu baring berlumuran darah akibat dipukul orang ramai.

POLIS menahan seorang suspek yang juga individu tular dibelasah teruk mengakibatkan kecederaan di bahagian muka di Semporna, Sabah pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, suspek itu ditahan pada 4.50 petang Khamis untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod sembilan kes jenayah dadah lampau termasuk dua kes jenayah di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 380 Kanun Keseksaan.

Penahanan dilakukan susulan laporan polis dibuat pada Khamis oleh seorang pengadu yang juga pekerja di pasar raya Jalan Bugaya, Semporna, Sabah.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang Khamis apabila pengadu cuba menahan seorang lelaki disyaki mencuri barang di pasar raya berkenaan namun cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Saga hitam.” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beberapa pekerja pasar raya cuba menahan suspek namun suspek bertindak memandu kenderaan secara berbahaya dan telah melanggar dua buah kenderaan jenis Honda dan van di hadapan pasar raya itu sehingga menyebabkan kerosakan.

Suspek kemudian dilepaskan atas perbincangan antara mereka.

Siasatan lanjut mendapati suspek mencuri dua botol pencuci rambut dan satu unit losyen tangan bernilai RM126.

Pihak polis juga sedang mengesan saksi untuk diambil keterangan berhubung insiden berkenaan.

Kes disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis turut menasihati pemilik-pemilik pasar raya agar membuat laporan dan menyerahkan suspek serta merta kepada polis jika berlaku sebarang kecurian.

Sebarang maklumat berkaitan insiden terbabit boleh disalurkan kepada Inspektor Jamal Tampak di talian 013-2111667, Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah atau mana-mana Balai Polis Berdekatan.

Terdahulu, video tular berdurasi satu minit 36 saat pada Khamis memaparkan seorang individu bersama sekumpulan lelaki menarik baju suspek di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya sambil disaksikan oleh orang awam.

Berdasarkan video dan gambar tular itu, suspek didakwa mencuri lima barangan asas termasuk gula dan pencuci rambut dari pasar raya berkenaan namun disedari kakitangan di situ.

Bagaimanapun, tindakan salah seorang individu yang mencederakan suspek terbabit dengan menyepak muka sehingga berdarah mengundang pelbagai reaksi orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram