SEBANYAK tujuh laporan polis sudah dibuat berhubung kebakaran di Wisma Jakel, dekat Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan itu melibatkan kebakaran terbaharu pada Selasa (3 Januari) dan Ahad (1 Januari).
"Tiga laporan dibuat oleh wakil Jakel, tiga lagi oleh peniaga dari premis berhampiran manakala selebihnya oleh orang awam," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pada Selasa.
Jelasnya, siasatan akan dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor.
"Polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan penuh (jabatan) berhubung perkara itu.
"Ini termasuk (penemuan) jika ada perbuatan membakar atau unsur jenayah lain," katanya sambil menambah polis akan dikerahkan di tempat kejadian untuk memantau keadaan.
Mohd Iqbal memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu di media sosial.
"Kami mendapati masih terdapat spekulasi termasuk dakwaan tuntutan insurans.
"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab (menyebarkan dakwaan)," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata, semua premis di kawasan itu termasuk dua bank diarah tutup buat masa ini.
"Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengikut arahan bomba yang masih menjalankan siasatan dan pemantauan di tempat kejadian," katanya.
Bomba fokus unsur sabotaj, sisa bara api
Pada masa sama, unsur perbuatan bakar dan sisa bara api menjadi antara fokus utama siasatan bomba Selangor susulan kebakaran terbaharu di bilik simpanan kain langsir di wisma tersebut pada Selasa pagi.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis bagaimanapun berkata, siasatan pihaknya akan memberi tumpuan kepada semua aspek dan dikaji secara mendalam agar maklumat menyeluruh dapat diperoleh.
"(Punca bara di bawah kain), itu kami masih siasat dan mengambil aspek yang perlu kami analisa. Mungkin bara-bara yang tertinggal atau ada sesiapa yang naik melakukan pembakaran.
"Aspek-aspek lain juga akan dilihat dan dikaji secara mendalam. Setakat ini belum ada lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua ini," katanya memetik laporan media tempatan.
Norazam berkata, pihaknya memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisa awal termasuk mendapatkan saksi kejadian itu.
Jelas Norazam, pihaknya pada Selasa turut menggerakkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu dua ekor anjing jantan dari baka English Springer Spaniel bernama Woody dan Rocco, untuk mengesan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan kebakaran.
"Sampel dan sebagainya kami akan hantar ke makmal penyiasatan kami di Bukit Jelutong untuk dianalisa. Selain itu, aspek pendawaian dan peralatan elektrik yang digunakan oleh bangunan Wisma Jakel juga akan turut dianalisa," katanya.
Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya pada hari sama mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH), dengan menempatkan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang.
"Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan," katanya.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian, kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.
"Bomba dengan dibantu pekerja Jakel akan menjalankan kerja-kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik yang terselamat daripada premis Wisma Jakel mulai hari ini (Selasa)," katanya.
Wisma Jakel di Seksyen 7 pada Selasa mengalami kebakaran kali kedua apabila bilik simpanan kain langsirnya terbakar tengah malam tadi, selepas pihak bomba menerima panggilan pada pukul 12.40 tengah malam.
Kebakaran itu berjaya dipadam keseluruhannya oleh pihak bomba pada pukul 3.07 pagi.
Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari lepas dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi dan berjaya dipadamkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram