[VIDEO] Ahli perniagaan disiasat, bertengkar sambil tunjuk pistol di Tawau


  • 112
  • Ahad, 01 Jan 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan ahli perniagaan mengeluarkan pistol sewaktu bertengkar dengan sekumpulan penarik kereta di Tawau.

SEORANG ahli perniagaan disiasat kerana didakwa melakukan ugutan jenayah di Tawau, Sabah.

Ahli perniagaan itu didakwa mengacukan pistol semasa bertengkar dengan sekumpulan penarik kereta di Taman Jambu, Jalan Sin Onn, Tawau kira-kira pukul 2.30 petang Jumaat.

Difahamkan, ahli perniagaan itu menerima panggilan daripada rakan wanita yang memaklumkan keretanya sedang ditarik.

Video tular mengenai kejadian itu menunjukkan ahli perniagaan itu dilihat memegang pistol ketika bercakap dengan beberapa lelaki sebelum memasukkannya semula ke belakang seluarnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis.

Jelasnya, ahli perniagaan itu mempunyai lesen senjata api dan pistol yang digunakan dalam kejadian itu tidak dirampas.

"Kami akan mengemukakan kertas siasatan kami kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram