SEORANG lelaki cedera parah selepas badannya tersepit antara tembok pintu pagar dan lorinya di Kalideres, Jakarta, Indonesia.
Difahamkan, insiden itu berlaku kira-kira pukul 1.50 petang pada Ahad lalu dan video tersebut tular di media sosial.
Menerusi video tersebut, lelaki itu pada mulanya menghidupkan enjin lorinya tetapi tidak masuk di tempat duduk pemandu sebaliknya hanya berdiri di tepi kenderaan itu
Secara tiba-tiba, kenderaan itu menggelongsor ke depan yang menyebabkan dia panik dan cuba menghentikan lorinya berkenaan.
Namun, usaha itu mengundang padah apabila dia tersepit antara ruang tembok pintu pagar dan lorinya.
Sumber yang rapat dengan mangsa berkata, lelaki itu mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang rusuk.
"Tulang rusuk itu turut menusuk ke paru-parunya yang mengakibatkannya berada dalam keadaan parah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kalideres, Aep Haryaman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kes berkenaan.
"Kami belum terima dan akan lakukan pemeriksaan dahulu berkaitan kes ini sama ada berkaitan kes jenayah atau tidak," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram