MULA menggerakkan Pertubuhan Kebajikan Niq Ehsan Malaysia sejak 2019 sebagai medium menolong golongan memerlukan, Akhmarulizam Ahmad mengakui sebenarnya banyak bantuan sudah tersedia untuk mereka.
Namun, Akhmarulizam yang juga pengasas dan pengerusi kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, cuma ada beberapa sebab yang membuatkan dia nampak mengapa bantuan seperti tidak sampai ke sasaran yang betul.
"Saya melihat perkara ini sejak 2019 lagi. Saya tak nafikan bantuan memang ada, tetapi kebanyakannya tidak sampai ke sasaran disebabkan beberapa faktor.
"Macam saya sendiri, beberapa kali saya bertemu dengan keluarga susah dan bawa mereka ke agensi berkaitan untuk dapatkan bantuan. Saya sediakan dokumen siap-siap.
"Perkara ini senang sahaja bila kita bantu mereka bawa ke saluran yang betul. Cuma bila bantuan itu diberikan kepada lapisan bahawan, ia jadi susah hingga bantuan itu tak sampai," katanya kepada Majoriti.
Akhmarulizam mengakui lapisan yang terlalu banyak membuatkan bantuan tidak sampai ke pihak sepatutnya.
Menurut Akhmarulizam, malangnya pihak yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk mengagihkan bantuan termasuk pemimpin masyarakat dilihat seolah-olah tidak bekerja dengan cukup baik untuk membantu pihak yang memerlukan.
Jelasnya, ambil contoh seperti pejabat penghulu yang sepatutnya ada data terkini siapa perlu dibantu tetapi masih menggunakan maklumat lama.
"Sepatutnya mereka ini kena aktifkan data sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. Bukan sekadar menyampaikan bantuan sahaja.
"Bila jadi begitu, yang dapatnya kroni mereka. Hanya kerana nak habiskan stok bantuan sementara tunggu sumbangan lain sampai.
"Itu yang saya sampai nampak ada rumah dapat berderet beras, telur sampai busuk. Itu belum lagi ada siap jual barangan bantuan. Semua saya nampak depan mata," katanya.
Tambahnya, jika bantuan dapat disalurkan dengan cara betul, dia pasti kes rakyat susah akan berkurangan dari semasa ke semasa.
Akhmarulizam (tiga dari kanan) bersama Khadijah menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu dengan kerjasama Maiwp. — Facebook/Maiwp
Kerjasama pelbagai agensi
Memasuki 2023, Akhmarulizam berkata, misinya masih sama untuk terus membantu rakyat yang memerlukan dan kali ini bersama-sama dengan pelbagai agensi lain.
Malah, pada 28 Disember lalu, pihaknya sempat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).
"Daripada sukarelawan, kita memang tiada masalah. Saya ada ramai penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bersama kami dalam setiap misi bantuan.
"Lagipun saya ajak mereka sertai kami sebagai satu pendidikan daripada segi sahsiah dan moral diri," katanya.
Selain itu, menurut Akhmarulizam, penaung NGO itu, Datuk Khadijah Ibrahim juga banyak memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempermudahkan urusan bantuan.
Tambahnya, kerjasama dengan Maiwp juga akan diteruskan untuk tahun ini dan mereka juga terbuka untuk bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi membantu golongan yang memerlukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram