MPKj: Kos pembersihan Tasik Air Hitam Cheras cecah lebih RM41 juta


  • Massa
  • Selasa, 03 Jan 2023

Najmuddin berkata, pihak majlis masih belum memutuskan pendekatan terbaik untuk pembersihan tasik tersebut.

MAJLIS Perbandaran Kajang (MPKj) akan membelanjakan sebanyak RM41 juta bagi membersihkan bekas tapak pelupusan haram di Tasik Air Hitam di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain berkata, jumlah itu dimaklumkan syarikat perkhidmatan pengurusan alam sekitar yang dilantik oleh majlis untuk meneliti kerja pembersihan tersebut.

“Bajet pengurusan sisa majlis adalah sekitar RM60 juta setahun dan kos pembersihan adalah dua pertiga daripadanya,” katanya.

Jelasnya, dalam pertemuan dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pada pertengahan 2022, MPKj bersetuju untuk merujuk kepada pakar berkaitan pengurusan sisa dengan Worldwide Holdings kemudiannya dilantik untuk meneliti pembersihan Tasik Air Hitam.

"Penilaian awal yang dijalankan menunjukkan kos mencecah RM41 juta," kata Najmuddin dalam mesyuarat lembaga penuh MPKj.

Bagaimanapun, tambahnya, pihak majlis masih mempertimbangkan pendekatan terbaik untuk penyelesaian masalah itu.

“Majlis akan membentangkan bajet kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan mereka akan memutuskan sama ada mahu meneruskan atau ada penyelesaian alternatif lain yang lebih murah,” katanya.

Menurut Najmuddin, Worldwide Holdings telah mengukur kawasan tasik itu yang mempunyai ukuran sedalam 20 meter.

Tasik Air Hitam telah dijadikan sebagai tapak pelupusan haram sejak Disember 2021 dan kawasan itu dipenuhi dengan botol, guni, bekas polistirena dan sisa plastik yang sekali gus mencemarkan air dan tanah di sekitarnya.

Penduduk di Bandar Mahkota Cheras dilaporkan kerap membuat aduan berhubung bau busuk di kawasan tasik tersebut.

Pihak berkuasa akhirnya mula bertindak pada 31 Mei 2022, apabila Luas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat melakukan operasi bersepadu yang diketuai MPKj.

Pihak berkuasa tempatan telah menutup kawasan tasik dan notis berhenti kerja juga telah dikeluarkan kepada pemilik tanah.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandar Mahkota Cheras Lim Kim Eng berkata, tujuh pemilik tanah telah dikenal pasti.

PTD Hulu Langat mengeluarkan notis 7A kepada pemilik tanah bagi menjalankan pemulihan tanah dengan segera dan tempoh notis itu berakhir pada 31 Disember 2022.

“Bagaimanapun, pemilik tanah telah menghubungi pihak majlis dan menjelaskan bahawa mereka tidak mampu membayar kos penyelenggaraan,” kata Lim.

Beliau menambah bahawa anggaran yang dikeluarkan sebelum ini bagi membersihkan dan merawat tasik itu ialah sebanyak RM3 juta sehingga RM4 juta namun, kini kos itu kian melonjak kepada RM41 juta. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram