LONGKANG tersumbat di beberapa buah rumah di Jalan Terkukur, RPT Pengkalan Pegoh, Ipoh, Perak, menyebabkan penduduknya bimbang jika berlaku bencana banjir.
Pesara penjawat awam, Rohanim Abdul Rashid berkata, longkang di belakang rumahnya telah ditutup dan disimen kerana kerja pembinaan di plot bersebelahan rumahnya.
Lelaki berusia 57 tahun itu berkata, kerja pembinaan bermula sekitar penghujung November dan dia bimbang jika hujan lebat pada musim tengkujuh ini akan menenggelami kawasan itu.
“Walaupun rumah saya terletak di kawasan yang lebih tinggi, pernah berlaku banjir kilat di sini sebelum ini pada 2014 dan 2016,” katanya kepada StarMetro ketika ditemui baru-baru ini.
"Saya bimbang akan rumah jiran saya yang terletak berderkatan jalan raya kerana rumah mereka terletak di tanah yang lebih rendah," jelasnya.
Rohanim juga tidak berpuas hati kerana pemilik tanah memulakan kerja pembinaan tanpa berunding dengan jiran termasuk dia.
"Beliau juga telah menutup sebahagian jalan raya dan ini telah menyusahkan orang ramai di sini," ujarnya.
“Jalan itu merupakan jalan pintas kegunaan ramai bagi penduduk di sini untuk ke Jalan Simpang Pulai-Lahat.
"Kami kini terpaksa memandu di jalan yang tidak rata yang dipenuhi dengan jalan berlubang dan tidak mempunyai lampu jalan," tambahnya.
Rohanim menggesa pihak berkuasa menyemak semula permohonan daripada pemilik tanah.
“Ia mungkin satu kesilapan pihak berkuasa.
“Saya harap ada penyelesaian kepada perkara itu, terutama mengenai jalan pintas dan sistem perparitan,” katanya.
Ketika dihubungi, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh Tony Khoo berkata, wakil daripada agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh, Pejabat Penghulu dan Jabatan Tanah dan Galian telah melawat tapak tersebut suatu ketika dahulu.
“Ia isu lama.
“Sebidang tanah yang dipohon oleh individu itu telah diberi hak milik secara sah dan ia dilakukan mengikut susun atur yang diluluskan,” kata Khoo.
"Mengikut pelan susun atur asal, jalan itu (iaitu sebahagian daripada Jalan Kakak Tua dan kini ditutup) tidak sepatutnya dibina di sana pada mulanya," katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa hanya menyedarinya kemudiannya.
“Pihak berkuasa kini perlu melihat lebih dalam untuk menyelesaikan isu berkaitan pembinaan jalan baharu dan membaiki sambungan saliran,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
